Anwar dan masa depan PH

oleh Lim Hong Siang

Politik umpama menjulang idealisme dalam realiti. Ada kalanya kita berganjak demi mencapai kemenangan. Kegagalan menguruskan kemenangan, bakal mengundang kejatuhan. Kesemua ini lumrah yang berkitar.

Ini namanya roda sejarah. Apabila mereka yang berkedudukan di bawah naik ke atas, dan kembali ke bawah kemudiannya, sungguhpun digelar “back to square one” dalam bahasa Inggeris, namun masyarakat kita telah bergerak dari titik asal lantaran pusingan roda sejarah ini.

Apakah ia sesuatu yang membosankan? Ya dan tidak. Ya, kerana masalah yang sama berulang-ulang; Tidak, kerana proses ini menerokai kemungkinan yang baru.

Kemelut politik tanah air pasca “Langkah Sheraton” tidak terkeluar dari hukum di atas. Mustahil ia dirungkaikan seandainya kita gagal membezakan antara cara dengan matlamat, dan menyeimbangi antara idealisme dengan realiti. Politik hanya tinggal pergelutan kuasa jikalau berkisar tentang taktik dan strategi samata-mata, tetapi mentaliti “semua atau tiada” (all or nothing) sesetengah idealis, tidak membantu untuk menjernihkan situasi.

Tulisan ini cuba menyingkap tiga isu utama yang wajar kita teliti, dan barangkali mencari titik pertemuan, sebelum kita mengorak langkah seterusnya.

Pertama: Satu slogan, tafsiran berbeza

Dari September 1998 hinggalah Mei 2018, segala agenda perjuangan politik parti pembangkang disingkatkan kepada satu slogan yang berbunyi “Reformasi”, sungguhpun disedari bahawa ada antara agenda mereka yang saling bertentangan. Untuk pembangkang dan penyokongnya, satu-satunya jalan keluar untuk merealisasikan agenda masing-masing adalah menumbangkan kerajaan persekutuan BN, pada ketika itu.

Pembangkang mula mengesan kerumitan di sebalik laungan slogan “Reformasi” selepas diberi mandat untuk menjadi kerajaan negeri dalam PRU12 pada tahun 2008. Secara kasar, dasar politik dikategorikan kepada tiga bab, iaitu pendemokrasian ekonomi, reformasi institusi dan politik identiti.

Ketika era Pakatan Rakyat, gandingan PAS-PKR-DAP berkongsi lebih persamaan dalam bab pengagihan sumber, iaitu memecahkan monopoli kroni, dan “merakyatkan ekonomi”. Dalam bab reformasi institusi, PR secara umum bersetuju untuk memansuhkan, atau sekurang-kurangnya meminda akta draconian yang dianggap mencengkam ruang kebebasan dan demokrasi, untuk semak-imbang yang lebih berkesan dalam institusi politik. Namun, PR bercanggah dalam bab politik identiti, khususnya antara DAP dengan PAS, apabila melibatkan agama, seperti hukum hudud, LGBT dan sebagainya.

Era Pakatan Harapan pula, gandingan PKR-DAP-Amanah-Bersatu berkongsi matlamat yang sama, iaitu menumbangkan regim Najib Razak. Ikhlas atau tidak, Bersatu di bawah pimpinan Mahathir Mohamad ketika itu terpaksa bersetuju dengan rakan sekutunya dalam bab reformasi institusi, kerana skandal 1MDB berlaku lantaran kebobrokan institusi semak-imbang dalam negara. Cuma, kemasukan parti yang mendukung nasionalisme Melayu ini menyaksikan percanggahan yang ketara dalam bab politik identiti, khususnya bahasa, pendidikan, etnik dan sebagainya.

Ia bukan hanya pertentangan antara DAP dengan Bersatu, tetapi juga perbezaan yang sedia ada dalam masyarakat majmuk kita. Lantas, slogan “Reformasi” gagal meleraikan perbalahan ini. Untuk masyarakat bukan Melayu, mereka yang menuntut penghapusan pendidikan aliran bahasa Cina itu adalah “konservatif”, “tidak meraikan kepelbagaian” dan sepatutnya disingkirkan dengan gelombang “Reformasi”. Sementara itu, dari kaca mata masyarakat Melayu, komuniti Cina yang menolak pengenalan tulisan Jawi juga bersifat “konservatif”, “eksklusif”, dan tidak harus diberi tempat dalam “Malaysia Baru”.

Kegagalan untuk menemukan kedua-dua kelompok ini pada titik pertengahan, mengundang kontradiksi yang semakin runcing. Ini persoalan identiti kebangsaan yang gagal dibincangkan dengan rasional, objektif, sebaliknya sentiasa dikaburi sentimen dan emosi, lebih-lebih lagi, dipolitikkan sebagai senjata untuk menjahanamkan musuh politik.

Kedua: Mahathir lwn Anwar

Pakatan Harapan dengan gandingan PKR-DAP-Amanah tanpa Bersatu, berkongsi lebih persetujuan dari segi dasar bersama, memandangkan aktor-aktor utama gandingan ini sudah bekerjasama sejak zaman Reformasi. Dengan kata lain, PH lebih bersatu tanpa Bersatu.

Namun, realiti pahit yang perlu ditelan di sebaliknya adalah, PH gagal menawan Putrajaya walaupun bersatu padu. Kuncinya undi Melayu. Paling kemuncak, PR dengan PAS meraih undi lebih 50% dalam PRU13, tetapi gagal menempah kerusi yang mencukupi dalam Dewan Rakyat. Pada PRU14, PH menang kerana Bersatu di bawah pimpinan Mahathir Mohamad mengisi kelompongan undi Melayu yang ditinggalkan PAS. Kini, tanpa PAS dan Bersatu, malah puak Azmin Ali dalam PKR – suka atau tidak, sejauh mana undi Melayu yang mampu diraih PH?

Perhitungan ini mudah ditelaah, dan difahami oleh mereka yang menerima pendamaian antara Mahathir dengan Anwar sebelum PRU14, dan mereka yang masih cuba mendamaikan dua sosok ini selepas “Langkah Sheraton”. Cuma, persoalannya, apakah pisang akan berbuah dua kali?

Keputusan PRU14 adalah keajaiban politik tanah air. Sosok Mahathir tanpa barisan pembangkang yang dibina sejak zaman Reformasi, gagal menumpaskan Umno-BN. Sosok Anwar-PH tanpa Mahathir-Bersatu, gagal melakar sejarah pertukaran kerajaan persekutuan melalui pilihan raya umum. Gandingan kedua-dua seteru politik ini, memungkinkan segala kemustahilan.

Namun, kedua-dua tokoh ini terbeban dengan sejarah yang panjang, dan kewujudan mereka saling menafikan legasi masing-masing. Anwar umpama parut di muka Mahathir, dan Mahathir bagai bayang yang menghantui Anwar daripada bersinar. Apabila kedua-duanya muncul bersama, sekurang-kurang salah seorang daripadanya berbohong. Mahathir terpaksa memadam sebahagian memoirnya jikalau berdamai dengan Anwar; dan Anwar juga terpaksa menelan ludahnya ketika mempertahankan Mahathir. Dengan ego yang ada dalam kedua-dua tokoh ini, apakah ia mungkin lagi?

Jadi, mungkin tiba masanya, pembangkang menerima hakikat untuk memilih salah satu daripada Mahathir-Anwar, atau melepaskan kedua-duanya. Pilihan meminggirkan Anwar mungkin tidak adil untuk Anwar, kerana beliau belum pernah diberi peluang untuk menerajui tampuk kuasa negara, sedangkan dua kali Mahathir diberikan peluang dan penghormatan itu.

Ketiga: Landskap politik baru

Perbincangan isu Anwar Ibrahim dilanjutkan dalam bahagian ini, iaitu lanskap politik baru tanah air. Suka atau tidak, lanskap politik tanah air telah berubah selepas “Langkah Sheraton”. Dari perhitungan atas kertas, pilihan agak terbatas untuk PH merampas semula kuasa, seandainya mengecualikan “puak pengkhianat” (iaitu Bersatu dan geng Azmin Ali) dan Umno dalam kerajaan baru yang bakal dibentuk.

Justeru itu, tidak adil seandainya misi ini digalas Anwar berseorangan, dan kemudian dituding jari selepas kegagalannya, kerana sebagaimana yang kita sedia maklum, PAS dan GPS telah menyatakan pendirian untuk tidak bersama DAP sebermulanya. Ditolak lagi puak Mahathir dan Warisan, bagaimana Anwar mampu memperolehi angka majoriti yang kukuh dan meyakinkan?

Lantas ia membawa kita kepada persoalan seterusnya, sama ada PH wajar merampas kuasa secepat mungkin, atau menunggu sehingga parlimen dibubarkan? Dengan kekocakan politik yang sedia ada, menyaksikan tikam-menikam antara Umno-Bersatu-PAS, kedudukan Muhyiddin Yassin bagai telur di hujung tanduk. Namun pada masa yang sama, perpecahan dalam blok pembangkang juga tidak menjamin Anwar di kedudukan selesa, jika pun dinobatkan sebagai perdana menteri kesembilan.

PH memerlukan pelan jangka pendek dan panjang. Andainya PH tetap berkobar-kobar untuk merampas semula kuasa secepat mungkin, maka mereka perlu merombak gandingan PH untuk merangkumi sekutu baru, dan sudah tentu dasar bersama yang baru. Satu dasar bersama harus dirangka, dipersetujui semua parti komponen, dan dipertahankan tanpa apologetik ketika berdepan dengan penyokong masing-masing.

Atau, seandainya PH sanggup menunggu lebih lama, mereka harus menampilkan saf pimpinan generasi baru, dengan imej yang segar, tanpa dibelenggu beban sejarah lampau. Jikalau pelan jangka panjang ini diberi keutamaan, maka Anwar wajar berundur secara berperingkat-peringkat ke belakang tabir. Saf pimpinan generasi muda ini harus menyuburkan wacana baru, menggilap semula idealisme dan mengolah restu masyarakat majoriti. Mereka perlu lebih yakin untuk mempertahankan pendirian, idea yang progresif, mencari keseimbangan antara dua kelompok di penghujung ekstrem, dan moga-moga satu hari nanti – dalam lima atau sepuluh tahun, mereka melakar Malaysia Baru.

Anwar perlu sedar, kehormatan yang dinikmati beliau sekarang, datang daripada pengorbanannya sepanjang gerakan Reformasi, bukan lagi harapan dan kepercayaan yang dipertaruhkan ke atas sosoknya. Ini kerana krebilitinya semakin terhakis, lantaran janjinya yang gagal ditepati, berulang kali. Situasi sedemikian, sedikit sebanyak menjejaskan sokongan PH, kerana penyokong dikecewakan berkali-kali setelah dilambung harapan yang tinggi. Beliau harus memilih bagaimana dirinya diperingati dalam sejarah politik Malaysia pada satu hari kelak.

LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya). MK

20 Tahun Reformasi, PKR Masih Di Bawah Telunjuk Dr Mahathir

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker