Antara Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional
oleh ZAMIR GHAZALI
Wacana ramai rakan politik saya selalu mengangkat persoalan ini iaitu antara Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) yang manakah lebih sukar untuk didepani Pakatan Harapan (PH) dalam PRU15.
Terus terang saya lebih gembira jika Bersatu berterusan berada di celah-celah PN tersebut. Keberadaan Bersatu di situ menjadikan tugas sedikit mudah untuk berseteru politik.
Garis bawahi, seteru politik. Bukan seteru iman dan akidah. Jika bab akidah, tinggalkan saja wacana itu untuk parti ehem-ehem di sebelah sana. Usah sesakkan kepala.
MN meskipun selalu digembar-gemburkan dengan ketidakberjayaan kerana pertembungan sejarah panjang El Classico, malah berkukuh di pasaran kerusi yang sama, tetapi saya berpandangan sebaliknya.
Kedua-dua parti Melayu ini bukan kelab bola politik biasa. Sampai pada waktu dan ketika pemain Real Madrid dan Barcelona ini akan bersatu juga apabila tiba panggilan negara di Piala Dunia.
Tiba-tiba datangnya Bersatu. Selama ini, tonik yang mengikat MN adalah masing-masing menghormati jentera akar umbi setiap satu.
Takat yang hampir sama memudahkan aku garu belakang kamu dan kamu garu belakang aku. Datangnya Bersatu mudah dilihat semua orang sebagai penumpang kekuatan.
Penumpang kekuatan adatnya pemain boleh berpencak taktik di atas padang. Namun, peminat belum tentu setuju. Mentelah yang datang menumpang bertindak sebagai kapten dan pengurus sekaligus. Mencuri peluang kesebelasan utama, mencuri peluang kasut emas dan mencuri peluang gaji lebih mahal.
Turun berdepan dalam PRU nanti, Bersatu akan berhadapan terlalu banyak senario ancaman luar dan dalam. Yang dalam itu lebih bahaya. Ibarat luka berdarah dalam. Lebih sukar diubat berbanding luka luar.
Bersatu akan berdepan dengan Pas yang tidak akan mudah lepas kerusi wilayatul faqih mereka, berdepan semangat cah keting akar umbi Umno yang terasa kerusi mereka dicuri jika diberi, dan jentera Bersatu yang mungkin molek sedikit sahaja dari AMANAH iaitu parti saya.
Tanpa sosok negarawan seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, ditambah dengan pemain “nakal” seperti Azmin Ali, dengan imej pengkhianatan di mata rakyat, dan prestasi Menteri Bersatu bagaikan air suam dari paip air Kelantan, lebih mudah mereka dijadikan sasaran.
Di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Bersatu berkubu di belakang Speaker. Jarang nampak penglibatan aktif mereka. Pemain seperti Wee Kaa Siong dari MCA jauh lebih berani.
Umno khususnya nampak beban ini biar pun dalam kesepakatan. Bagaimana pun sesetengah pemimpin mereka cuba memurnikan atas tema “Demi Melayu” tetapi yang berdarah biru tetap mengalir darah biru.
Saya cukup percaya jika Bersatu mengambil kerusi Umno, dan itu barang pasti, mereka akan mengadap buah kilas “cah keting”. Lagikan sesama Umno pun jika tidak dapat naik ketua mereka, mereka “cah” situ sini. Mentelah jika dari luar. Nakal.
Bagaimana dengan Pas? Ini parti pragmatik. Siapa tawar lebih, mereka akan bersekutu. Yang ini bolehlah Bersatu bergantung harap undi kerana tanda pangkah dari kumpulan ini sudah lama diswasta kepada suara wahyu.
Justeru, mendepani PRU15, ijtihad saya adalah lebih baik berdepan dengan PN berbanding MN. Saya beri lebih markah kepada kekuatan MN ini.
Dengan syarat semua parti pembangkang bersama. Jika takdir Warisan dan Pejuang pula ke sana, paling tinggi pencapaian ialah rekod di PRU13.
Dan Pakatan Harapan kekal sebagai pembangkang berkaliber persis pasukan Setan Merah dari Trafford Tua. Peminat yang setia, sorak gempita, piala tiada. MD
Kata dua Najib kepada Perikatan Nasional
You must be logged in to post a comment.