Saya masih hormat Mahathir tapi Anwar seorang perengus – Azmin

Meskipun berbeza pandangan ekoran penubuhan Perikatan Nasional (PN), Menteri Kanan Azmin Ali berkata, dia masih melihat bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai tokoh yang disegani dan dihormati.

“Saya masih ada rasa hormat, sayang kepada Dr Mahathir. Dia adalah tokoh negarawan kita.

“Saya mungkin tidak setuju dengan langkahnya meletakkan jawatan pada 24 Februari lalu tanpa memberitahu kami terlebih dahulu,” katanya dalam satu wawancara khas dengan portal The Star.

Tambahnya, keputusan mendadak Mahathir itu mengagalkan rancangan untuknya memimpin sebuah kerajaan perpaduan dengan sokongan 131 ahli parlimen, memaksa Muhyiddin menggantikan tempatnya.

“Saya rasa kita patut biarkan Muhyiddin tadbir, terutama ketika berlaku wabak. Saya rasa dia telah melakukan tugas yang baik- sangat fokus menguruskan isu berkenaan wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi,” katanya yang juga merupakan anggota parlimen Gombak.

Azmin mendedahkan bahawa idea Perikatan Nasional (PN) datang dari Mahathir untuk memastikan dia menjadi perdana menteri yang disokong anggota parlimen dari kedua-dua belah pihak.

Katanya, pilihan raya sepatutnya diadakan bulan lalu namun disebabkan gelombang ketiga wabak Covid-19, ia tidak dapat dilakukan.

Azmin turut merujuk dirinya sebagai ahli politik ‘bidan terjun’.

“Bila saya berkhidmat untuk (Presiden PKR) Anwar Ibrahim sebagai (pembantunya) selama 15 tahun, saya tidak tertarik untuk aktif dalam politik selepas dibuang pada 1998.

“Kemudian saya bersama rakyat, terlibat dalam reformasi dan kemudian parti politik (Parti Keadilan Nasional kemudian dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat).

“Saya tidak bercita-cita dalam politik. Dalam PKR, saya ditolak pada 2008 ketika menang di Selangor,” kata Azmin merujuk kepada pelantikan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

“Ketika dia disingkirkan oleh Anwar tanpa pertimbangan, niatnya bukan saya yang gantikan (tempat Khalid).

“Dengan kuasa Tuhan, saya jadi menteri besar Selangor. Saya bekerja keras dan pada pilihan raya umum (PRU) 2018 yang lalu, buat pertama kalinya, Pakatan Harapan (PH) memperoleh 51.56 peratus undi di Selangor.

“Dan selepas kerajaan PH di negeri Selangor terbentuk, nama saya tiada lagi.

“Saya disuruh ke kerajaan persekutuan dan saya duduk dengan Sultan Selangor untuk mendapatkan perkenan baginda untuk berpindah dari Selangor ke kerajaan persekutuan,” kata Azmin.

Azmin menegaskan bahawa dia tidak harus dipersalahkan kerana permusuhannya dengan Anwar, yang turut menyumbang kepada kejatuhan kerajaan PH.

“Saya telah berkhidmat untuknya selama 30 tahun – secara rasmi 15 tahun ketika dia menjawat jawatan menteri pendidikan, menteri kewangan dan timbalan perdana menteri.

“Saya juga jaga keluarganya ketika dia dalam penjara. Saya ingat setelah keluar, dia menjadi orang lebih baik.

“Malangnya dia menjadi orang yang perengus – bukan hanya kepada saya tetapi seluruh negara.

“Boleh tengok kakitangannya semua sudah tinggalkan dia,” jelas Azmin menyatakan bahawa bukan hanya dia tinggalkan Anwar. Mk

https://mykmu.net/2018/03/19/rakyat-sudah-hilang-kepercayaan-hormat-terhadap-dr-mahathir/

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker