Dakwaan arak ‘hak’ diberi pada bukan Islam dangkal!
Ahli politik diminta henti bersikap populis untuk raih undi
BANGI, 12 Rabiulakhir 1442H, Sabtu – Bukan sahaja pelik malah dangkal apabila ada ahli politik mengatakan bahawa minuman arak merupakan hak yang diberikan oleh Allah SWT kepada masyarakat bukan Islam.
Sebagai pemimpin Islam yang berada di kedudukan tertinggi dalam kerajaan, kenyataan itu amat mengecewakan kerana seakan-akan tidak ingin langsung memandang serius isu minuman keras ini.
Sedia maklum, sifat arak yang biasanya dikenali dengan kesan-kesan negatif bahkan pemanduan secara mabuk dan merogol adalah berpunca daripada minuman keras itu dan kesannya boleh membawa kepada membunuh.
Sehubungan itu ahli politik diingatkan untuk berhenti bersikap populis dengan menjanjikan keizinan untuk orang bukan Islam boleh meminum arak.
Naib Yang Dipertua Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Imran Hakimi menyifatkan tindakan itu semata-mata untuk mendapatkan undi sahaja.
“Anda juga patut hentikan idealisme anda yang rapuh dengan mengatakan penjualan arak tidak boleh dibuat di tempat umum dan terbuka.
“Jika tidak dijual secara terbuka pun, pemanduan secara mabuk tetap ada dan nyawa orang tidak bersalah juga hilang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menerusi kenyataan sama, Imran menegaskan pentingnya tugas umat Islam untuk menerangkan kepada bukan muslim yang tidak memahami keburukan minuman keras.
Katanya, apa yang perlu dilakukan adalah mengajar bukan Islam dengan hikmah berpandukan akal rasional bahawa arak itu memudaratkan.
“Al-Quran turun kepada umat manusia tanpa mengira agama untuk membimbing ke arah kebenaran maka kita sebagai umat Islam yang beramal dengan al-Quran juga boleh menyampaikan kebenaran kepada mereka.
“Mahukah kita berdosa kerana bersubahat dalam urusan penjualan arak? Sudah tentu Islam menegahnya walaupun kita tidak meminumnya,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang ditanya mengenai pengakhiran bagi industri arak berkata, sekiranya minuman keras memudaratkan, ia patut diharamkan untuk dijual secara umum.
Namun, minum arak adalah hak yang diberikan oleh agama masing-masing, dan ia menjadi hak kepada orang bukan Islam.
“Kerana itu hak yang diberikan oleh Allah SWT kepada agama lain dibenarkan. Tetapi, kalau judi, tiada agama yang membenarkan judi. Itu perlu bezakan antara judi dan arak. Arak sebahagian agama membenarkannya, kita akan beri hak kepada mereka,” katanya dalam temu bual eksklusif TV Pertiwi.
Ditanya, adakah PAS akan mendesak kepada pengharaman arak, menurut Dr Khairudin, hak itu masih diberikan kepada orang bukan Islam kerana ia dibenarkan syariat.
“Cuma, bagaimana penjualan itu mesti kita bincang. Kalau dia dijual secara berleluasa hingga menyebabkan memandu dalam keadaan mabuk, itu memudaratkan rakyat.
“Kita tengok bukan pada isu arak, tetapi isu memudaratkan itu menjadi pertimbangan kita. Maka, selagi ia tak mudaratkan orang bukan Islam, teruskan kerana agama mereka membenarkan,” kata Dr Khairuddin.