Bekas pemaju Melaka Gateway mahu teruskan projek

Pada 16 Nov, kerajaan negeri berkata, kontrak dengan KAJ Development ditamatkan setelah syarikat itu didapati gagal menyelesaikan kerja-kerja pembinaan pada tarikh yang ditetapkan. (Gambar Bernama)

 

PETALING JAYA: Bekas pemaju projek Melaka Gateway yang kontraknya ditamatkan bulan lalu merayu supaya syarikat itu dibenarkan meneruskan projek berkenaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, ketua pegawai eksekutif KAJ Development Sdn Bhd, Michelle Ong menggesa kerajaan negeri dan persekutuan menilai semula keputusan penamatan kontrak berkenaan dengan berkata, “sangat sukar bagi pihak lain untuk meneruskan projek itu pada kadar segera”.

Rayuan itu dibuat sehari selepas Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali dilaporkan berkata, projek berkenaan akan disambung semula, tetapi menjelaskan terdapat beberapa perkara teknikal perlu diperbetulkan.



Pada 16 Nov, kerajaan negeri berkata, kontrak dengan KAJ Development ditamatkan setelah syarikat itu didapati gagal menyelesaikan kerja-kerja pembinaan pada tarikh yang ditetapkan.

Mengulas lanjut, Ong berkata, syarikatnya menghabiskan hampir satu dekad untuk merancang dan membangunkan projek itu, yang melibatkan pembinaan 3 pulau yang ditambak, sebuah pelabuhan laut dalam dan terminal kapal persiaran, serta hartanah komersial dan kediaman.

Beliau berkata, kajian menunjukkan projek itu memberi kesan limpahan ekonomi bernila sehingga RM1,200 bilion dan mendakwa sudah memperuntukkan hampir RM1 bilion untuk melengkapkan kajian yang dilaksanakan oleh pakar antarabangsa.

Ong juga berkata projek itu berpotensi menjadikan Melaka antara penyumbang utama ekonomi, setaraf atau lebih maju berbanding Selangor dan Pulau Pinang.



Beliau turut mendakwa kerajaan negeri tidak memanfaatkan lokasi strategik Melaka di laluan perkapalan dan perdagangan utama antara Asia dan Timur Tengah.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker