[VIDEO] Kelindan Lori Maut, Tercampak Dari Ketinggian Lima Meter
NILAI – Seorang kelindan lori maut selepas tercampak dan terjatih dari ketinggian kira-kira lima meter ke laluan jalan bawah dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 280.7 Lebuh Raya Utara Selatan, arah Selatan di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 petang itu kelindan lori iaitu seorang lelaki berusia 32 tahun maut di tempat kejadian manakala pemandu lori berusia 38 tahun mengalami kecederaan parah.
Seorang kelindan maut selepas tercampak dan terjatuh dari ketinggian lima meter dalam kemalangan membabitkan sebuh lori dan van di Kilometer 280.7 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), arah Selatan dekat Nilai. FOTO IZZAT TERMIZIE
“Kemalangan berlaku apabila sebuah van jenis Toyota Hiace yang dipandu di lorong paling kanan oleh seorang lelaki berumur 32 tahun dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Melaka telah hilang kawalan lalu terbabas ke kiri.
“Van itu kemudian telah melanggar sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso yang dipandu di lorong paling kiri oleh seorang lelaki berusia 38 tahun bersama seorang kelindan berusia 32 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Mohd. Fazley berkata, pelanggaran tersebut menyebabkan lori itu terbabas ke kiri dan melanggar besi penghadang kiri jalan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu lori mengalami kecederaan dalaman dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban manakala kelindan lori yang telah tercampak keluar dari lori dan terjatuh ke laluan bawah di Jalan Nilai – Salak disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Menurut Mohd. Fazley, pemandu van bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dalam pada itu, video memamparkan kepala lori tersebut tersangkut selepas melanggar penghadap jalan turut tular di media sosial.
[VIDEO] Seorang kelindan maut selepas tercampak dan terjatuh dari ketinggian lima meter dalam kemalangan membabitkan sebuh lori dan van di Kilometer 280.7 Lebuh Raya Utara Selatan, arah Selatan dekat Nilai.
Berita penuh klik https://t.co/WLgKCnbz0R pic.twitter.com/PC3NtfJ4J5
— Kosmo! Online (@kosmo_online) November 27, 2020