Orang politik banyak cakap, banyak janjinya, tapi tiada hasil, kata Najib

Wakil rakyat khususnya pemimpin negara diingatkan supaya bercakap sekadar retorik semata-mata tanpa mengambil kira kepada pencapaian, lebih-lebih lagi apabila berjanji kepada rakyat.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan, ini kerana ramai wakil rakyat hanya banyak bercakap dan menabur janji sedangkan masih gagal menyelesaikan masalah dan kebajikan rakyat.

“Waktu saya jadi Perdana Menteri, saya memang utamakan slogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

“Maknanya kita jangan cakap saja, jangan kita ucapkan dalam bentuk retorik saja, tetapi kita mesti tegaskan pencapaian diutamakan.

“Sebab orang politik banyak cakap dia, orang politik banyak janjinya, janjinya tapi tak ada keberhasilannya,” katanya ketika berucap pada Sesi Penyampaian Cek Pampasan kepada 15 keluarga Kg Kastam, Gelugor, Pulau Pinang di kediamannya di Taman Duta, hari ini.

Hadir sama Presiden Makkal Sakthi, Datuk Seri RS Thanenthiran.

Terdahulu Najib yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) menyerahkan cek pampasan berjumlah RM70,000 kepada setiap 15 keluarga Kg Kastam yang sebelum ini diancam pengusiran paksa daripada pihak pemaju pada 2015.

Ketika itu, Najib merupakan Perdana Menterinya yang memberi jaminan bahawa keselamatan setiap ahli keluarga Kg Kastam diberi perlindungan oleh pihak polis susulan pihak pemaju didakwa menggunakan samseng untuk menghalau mereka.

Ia bagi memberi laluan kepada projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Pulau Pinang.

Dalam pada itu, ketika pentadbiran beliau, rakyat dapat merasai manfaat dan nikmat yang jauh lebih baik berbanding zaman sekarang di bawah slogan 1Malaysia.

“Hari ini memang rakyat mengenali, zaman itu adalah zaman yang jauh lebih baik lagi dari hari ini.

“Zaman itu ekonomi kita berkembang, rakyat dapat manfaat, kebajikan rakyat sentiasa menjadi perhatian.

“Saya juga telah memperkenalkan slogan 1Malaysia tapi saya tidak mahu jadi slogan saja.

“Saya mahu itu jadi satu konsep supaya kita berlaku adil dalam negara berbilang bangsa, kaum dan agama,” katanya.

Menurutnya lagi, sesiapa pun yang memegang tampuk pemerintahan negara, mestilah memimpin dengan saksama dan bergerak bersama jika inginkan Malaysia aman dan harmoni.

“Kalau ini diamalkan Malaysia akan menjadi negara jauh lebih hebat pada masa akan datang.

“Mudah-mudahan semangat 1Malaysia akan hidup kembali dalam kalangan masyarakat kita,” katanya lagi. MG

https://mykmu.net/2017/06/24/lembayung-silaturrahim-1malaysia-asas-kejayaan-rakyat-dan-negara/

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker