[VIDEO] Kumpulan Ahli Geng 18 disyaki peras ugut wanita, cederakan polis direman

Terkini di My KMU !!!!---->

Polis telah memulakan siasatan mengenai insiden pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki India termasuk seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ di sini baru-baru ini.

Mereka disyaki ahli Geng 18 Batu 14, Puchong dikatakan memukul anggota polis dan membuat kekecohan di sebuah pusat hiburan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner, Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata, pihaknya tidak teragak-agak menggunakan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan SOSMA 2012 sekiranya perlu.

Dalam kejadian lebih kurang 11.30 malam Rabu lalu, pengadu yang merupakan seorang wanita Cina memaklumkan sekumpulan lelaki berbangsa India telah melakukan kekecohan di dalam premis pusat hiburan dengan memukul dan memecahkan barang-barang di dalam premis tersebut.

Kata Nik Ros Azhan, mengikut laporan wanita itu, kejadian berpunca kerana penjaga premis tersebut tidak membenarkan sekumpulan lelaki itu masuk ke dalam premis itu.

“Pergaduhan ini melibatkan 15 lelaki India dan semasa kejadian empat pelanggan termasuk seorang anggota polis, seorang wanita Melayu dan seorang lagi lelaki tempatan berada di dalam pusat hiburan tersebut.

“Pihak polis telah ke tempat kejadian dan telah menangkap kesemua suspek yang terlibat termasuk seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ dan difahamkan gelaran itu tersebut hanya nama panggilan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nik Ros Azhan, kesemua suspek telah direman selama dua hari sehingga hari ini dan disambung reman selama tiga hari lagi sehingga 30 November ini untuk disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh.

Manakala anggota polis yang ditangkap juga telah diberi jaminan dan dibebaskan kerana merupakan mangsa kejadian dalam kes tersebut.

Menurut beliau, polis juga turut menerima satu laporan daripada pemilik premis berkenaan kes peras ugut oleh kumpulan itu yang meminta bayaran wang perlindungan dan disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun hasil siasatan awal polis mendapati kumpulan ini dipercayai merupakan Geng 18 Batu 14, Puchong dan polis mendalamkan siasatan berkaitan kumpulan geng ini dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat jenayah diminta untuk menyalurkan dengan cara menghubungi Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan. MG

Cederakan anggota polis: Tauke shisha, 2 pekerja didakwa [Video]

Leave a Reply