Tak perlu tergesa-gesa puaskan China atas isu pertahanan, kata ahli akademi

Semalam, kapal Pengawal Pantai China dan Tentera Laut Diraja Malaysia dilaporkan bertembung berhubung penerokaan hidrokarbon di 44 batu nautika dari Sarawak di Laut China Selatan. (Gambnar Reuters)

PETALING JAYA: Seorang ahli akademik menasihatkan Putrajaya tidak tergesa-gesa memperbaiki hubungan pertahanan dengan China berikutan pertembungan kapal baru-baru ini.

James M Dorsey, felo di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, berkata lebih berbaloi untuk melihat pendirian yang akan diambil kerajaan baru Amerika Syarikat (AS).

Beliau memberitahu FMT, terdapat sedikit keperluan untuk berasa tertekan bagi memulihkan hubungan dengan segera.

Semalam, kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pengawal Pantai China (CGC) dilaporkan bertembung di 44 batu nautika dari Sarawak di Laut China Selatan kerana sebuah kapal China berada terlalu dekat dengan sebuah pelantar penggerudian hidrokarbon.



James M Dorsey.

“Saya rasa jika anda seorang pembuat dasar Malaysia, anda perlu membiarkan pilihan anda terbuka dan menunggu masa anda,” kata Dorsey.

“Kita hanya akan ketahui selepas 20 Jan nanti apakah dasar pentadbiran baru AS terhadap China dan Asia.”

Beliau berkata, komitmen lebih baik untuk Asia daripada AS akan membantu menentukan strategi Malaysia dalam pertikaian Laut China Selatan.



“Sebaik saja anda tahu apakah pendirian daripada kuasa seperti AS, itu, sehingga satu tahap, menetapkan parameter untuk apa yang anda fikir boleh dan tak boleh buat.”

Katanya, lebih baik Malaysia mengelakkan konflik ketenteraan, disebabkan kekuatan China.

Lam Choong Wah, yang pernah berkhidmat dengan Pusat Penyelidikan untuk Kemajuan Masyarakat (Refsa), berkata pembuat dasar tidak patut membiarkan ikatan pertahanan mempengaruhi pendekatan mereka terhadap pertikaian itu, walaupun hubungan itu penting.



Lam Choong Wah.

“Kita perlu ingat memperluaskan kerjasama ketenteraan dengan China tidak patut mengorbankan kedaulatan kita.”

Katanya, perlu ada tumpuan untuk mengukuhkan hubungan dengan negara anggota Asean, dengan kebanyakannya turut terlibat dalam pertikaian Laut China Selatan itu.

“Multilateralisme dan dasar berpusatkan Asean akan memanfaatkan Malaysia ketika berurusan dengan kuasa berkaitan hubungan serantau.”



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker