Laksana GST semula? Kredibiliti Muhyiddin dan Bekas Pemimpin PKR Terjejas

Terkini di My KMU !!!!---->

PETALING JAYA: Penganalisis berkata, kredibiliti Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin akan terjejas jika kerajaan Perikatan Nasional memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kerana beliau pernah menyokong pemansuhan GST ketika di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

Ini menyusul Maybank Investment Bank (Maybank IB) Research dalam laporannya Isnin lalu yang berkata, Kementerian Kewangan sudah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji pelbagai langkah meningkatkan pendapatan, termasuk kemungkinan memperkenalkan GST semula.

Maybank IB dalam nota dikeluarkan susulan dialog dengan menteri kewangan, memetik Tengku Zafrul Aziz sebagai berkata, langkah lain termasuk menganalisis kelemahan dalam rejim cukai dan impak percukaian baru terhadap ekonomi, mengkaji pilihan untuk cukai baru seperti cukai karbon dan cukai digital, merasionalisasikan insentif cukai, menambah baik pentadbiran cukai dan meningkatkan audit cukai, seperti melaksanakan nombor pengenalan cukai serta meningkatkan analisis data.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, imej beberapa bekas pemimpin PKR seperti Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin juga akan terjejas kerana pernah membantah GST dalam kempen secara meluas di seluruh negara sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Mereka ini yang paling kuat menentang GST dan (kalau) kini buat pusingan U, akan memalukan serta bakal menjatuhkan kredibiliti mereka sendiri,” katanya kepada FMT.

Pada 2018, sebelum PRU14 diadakan, Muhyiddin yang ketika itu bersama PH mengetuai perhimpunan Kempen Rakyat Tolak GST di Kuala Lumpur dan dilaporkan berkata, GST membebankan setiap lapisan rakyat sepanjang 3 tahun pelaksanaannya di bawah pentadbiran Barisan Nasional.

Awang Azman berkata, langkah memperkenalkan GST semula turut akan memberi kesan kepada Umno yang menganggotai kerajaan PN.

Kaji laksana semula GST, tingkat pendapatan negara

“Ya, ia bukan langkah popular, ia pernah menyebabkan mereka sebelum ini kecundang dalam PRU14. Namun, jika diberikan pencerahan hingga sampai ke akar umbi, maka rakyat boleh faham,” katanya yang mencadangkan kadar lebih rendah, jika GST dilaksanakan semula.

GST dengan kadar 6% yang mula dikuatkuasakan pada 1 April 2015 antara 10 janji PH untuk dilaksanakan dalam masa 100 hari ia berkuasa. Ia kemudiannya digantikan SST mulai 1 Sept 2018, yang meliputi 10% cukai jualan dan 6% cukai perkhidmatan.

Awang Azman berkata, Putrajaya perlu berhati-hati dengan sentimen rakyat ketika ia berusaha menambah sumber pendapatan negara yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Suasana ekonomi semasa menyebabkan Putrajaya perlu berhati-hati supaya tidak tercetus penolakan daripada rakyat. Memandangkan negara kini dalam proses pemulihan dan hambatan besar ekonomi menyebabkan tidak sesuai untuk perkenalkan cukai baru.”

Sementara itu, penganalisis ekonomi dari Universiti Teknologi Mara Sabah, Firdausi Suffian berkata, GST tidak sesuai diperkenalkan tahun ini atau 2021 kerana kebanyakan rakyat, termasuk peniaga di pelbagai sektor masih terkesan dengan impak ekonomi ketika ini.

“Tetapi, untuk jangka masa 3 hingga 5 tahun akan datang, mungkin ia boleh dipertimbangkan untuk dilaksanakan.

“Ramai orang yang hilang pekerjaan dan banyak juga perniagaan masih tidak dapat kekalkan jumlah jualan sama seperti sebelum ini, ia bukan saja industri kecil, tetapi juga industri besar, termasuklah kelapa sawit. Jadi, tidak wajar perkenalkan GST ketika ini.”

Selain peniaga, katanya, GST juga akan memberi kesan kepada rakyat kerana beliau percaya ia akan menyebabkan kenaikan harga barang memandangkan setiap rantaian, daripada pengeluar hingga pengguna, akan dikenakan cukai.

Beliau berkata, ketika ekonomi negara terjejas, kerajaan perlu menggalakkan rakyat berbelanja, tetapi jika cukai baru diperkenalkan, ia secara tidak langsung akan menjejaskan kemampuan rakyat untuk berbelanja

Leave a Reply