Bursa Malaysia ditutup tinggi selepas Parlimen luluskan Belanjawan 2021

Terkini di My KMU !!!!---->

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi selepas Belanjawan 2021 diluluskan di Parlimen hari ini.
Pada penutup, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 14.53 mata kepada 1,612.11 berbanding 1,597.58 ketika ditutup semalam.

Indeks bergerak antara 1,590.65 dan 1,612.78 sepanjang sesi urus niaga.

Di pasaran lebih meluas, saham untung mengatasi rugi dengan 816 berbalas 412 sementara 627 kaunter tidak berubah, 323 tidak diniagakandan 34 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 8.88 bilion unit bernilai RM4.68 bilion daripada 8.93 bilion unit semalam bernilai RM4.22 bilion.

Seorang penganalisis berkata dengan lulusnya belanjawan itu, halangan utama dari segi pembiayaan operasi kerajaan serta rancangan pembangunan telahpun selesai.

“Ini akan meningkatkan sentimen pasaran dan berserta persekitaran ekuiti yang positif, keseluruhan pasaran Bursa Malaysia kini bergerak ke arah momentum yang lebih baik sehingga akhir tahun, sekiranya tiada sebarang rintangan,” kata beliau.

Rang Undang-undang Perbekalan 2021 yang merangkumi Belanjawan 2021, telah diluluskan dengan suara majoriti selepas permohonan beberapa ahli Parlimen untuk undi belah bahagi tidak berjaya apabila hanya 13 ahli Parlimen berdiri, kurang daripada jumlah diperlukan iaitu 15 orang.

Peniaga itu menambah kelulusan belanjawan itu turut menghapuskan kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya peralihan kerajaan sekali lagi, dalam masa-masa mencabar ini.

Di Bursa Malaysia, Top Glove melantun 40 sen kepada RM7.05 sebahagiannya didorong oleh pembelian semula saham, sementara Telekom Malaysia menambah 16 sen kepada RM5.00, IHH meningkat empat sen kepada RM5.60, dan Axiata naik tiga sen hingga RM3.35.

Dalam kalangan saham aktif, Vivocom turun 5 sen kepada 80.5 sen, AT Systematization naik tiga sen kepada 20 sen dan Xidelang tidak berubah pada tujuh sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 127.21 mata pada 11,567.64, Indeks FBMT 100 menambah 120.68 mata kepada 11,350.54, Indeks FBM Emas Syariah melonjak 214.77 mata kepada 13,308.63, dan FBM 70 naik 229.09 mata kepada 14,769.06.

FBM ACE menokok 21.83 mata kepada 10,601.30, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.80 mata kepada 161.41 dan Indeks Perladangan menambah 36.84 mata kepada 7,350.37. Bagaimanapun, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 22.27 mata kepada 14.205.14.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama turun kepada 4.13 bilion saham bernilai RM3.37 bilion daripada 4.78 bilion saham bernilai RM3.47 bilion pada hari Rabu.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 852.85 juta unit bernilai RM157.50 juta daripada 648.28 juta unit bernilai RM108.53 juta semalam.

Sementara itu, jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 3.90 bilion saham bernilai RM1.14 bilion daripada 2.50 bilion saham bernilai RM644.99 juta semalam.

Produk dan perkhidmatan pengguna merangkumi 961.18 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.01 bilion), pembinaan (342.30 juta), teknologi (359.26 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (52.13 juta), harta tanah (183.64 juta), perladangan (47.38 juta), REIT (10.99 juta), dana tertutup (34,600), tenaga (722.17 bilion), penjagaan kesihatan (113.45 juta), telekomunikasi dan media (50.01 juta), pengangkutan dan logistik (173.40 juta) dan utiliti (99.14 juta).

– BERNAMA

Leave a Reply