‘Arahan pimpinan pembangkang’ semalam amat mengecewakan penyokong

Kementerian mana yang akan berdepan undi belah bahagi, hanya akan diputuskan setelah pembangkang meneliti secara dalam kertas pindaan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 yang diluluskan semalam.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, ia bagi memastikan pindaan yang diumumkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz benar-benar diterjemah ke dalam kertas pindaan yang dijangka dibentangkan Isnin ini.

“Ini satu dokumen penting, di situ kita boleh lihat apa yang dikurangkan, apa yang dilebihkan, secara hitam putih, bukan daripada pengumuman.



“[…] Di situ baru kita boleh lihat dengan jelas, apakah benar yang disebut itu diterjemah ke dalam dana.

“Kedua, apakah ada perubahan (terhadap perincian belanjawan), sebab kalau kita lihat, pada hari Jumaat (6 Nov) yang mana menteri kewangan umum, ada benda-benda yang masuk dalam belanjawan tapi tak diumum, seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

“Jadi, kita mesti teliti semula dokumen pada hari Isnin, apakah ada benda-benda lain yang masuk atau keluar, yang tak diumum,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Dia diminta mengulas kementerian atau isu manakah yang menjadi tumpuan Pakatan Harapan (PH) dalam undi belah bahagi yang dikatakan akan dibuat di peringkat jawatankuasa nanti, seperti dimaklumkan ketua pembangkang Anwar Ibrahim semalam.



Fahmi, ahli parlimen Lembah Pantai, berkata hanya selepas itu, barulah PH akan merangka dan meneliti secara konsensus soal undi belah bahagi dan kementerian berkaitan.

Pandangan senada turut dikongsi Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad.

“Kita akan kaji belanjawan setiap kementerian dan kalau didapati ada yang tak kena, maka akan dibuat belah bahagi. Belum ditetapkan lagi kementerian mana,” kata ahli parlimen Shah Alam ketika dihubungi.

Khalid Samad

 



Disoal apakah perbincangan mengenai hal itu akan turut melibatkan ahli parlimen bukan PH seperti Pejuang, Muda dan Warisan, kata Fahmi, ia “akan melibatkan ahli-ahli parlimen pembangkang”.

Kritikan lantang

Semalam, belanjawan pertama Perikatan Nasional (PN) diluluskan untuk bacaan kedua di Dewan Rakyat menerusi undian suara, meskipun sebelum ini ia menerima kritikan lantang daripada wakil rakyat pembangkang sejak dibentangkan 6 Nov lalu.

Ketika undian belah bahagi – yang memerlukan 15 sokongan ahli parlimen – cuba dilakukan oleh ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar, hanya 13 ahli parlimen pembangkang yang berdiri menyokong.



Ini menyebabkan pembangkang, terutamanya PH, menerima kritikan hebat di media sosial oleh penyokong mereka.

Anwar semalam menjelaskan dia meminta Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk tidak melakukan undi belah bahagi kerana tak mahu dilihat menolak insentif baru diumumkan Tengku Zafrul, yang menurutnya “lebih diterima rakyat”.

 Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz 

 

Kata Anwar, PH tetap menentang belanjawan berkenaan, dan akan meminta undi belah bahagi diadakan semasa peringkat jawatankuasa ketika anggota parlimen membahaskan perbelanjaan setiap kementerian.



Ketua Parlimen DAP Anthony Loke turut memberikan pandangan senada, bahawa belanjawan itu tidak boleh ditolak keseluruhannya kerana ada hal yang diperstujui pembangkang, dan ada hal yang tidak.

Semalam, Tengku Zafrul mengumumkan beberapa perubahan dalam belanjawan, antaranya peluasan kelayakan pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Wang Pekerja (KWSP) kepada pencarum yang mengalami penurunan pendapatan tahun ini.

Bantuan tambahan lain termasuklah bantuan kepada petugas barisan hadapan, serta peruntukan tambahan untuk Sabah dalam berdepan peningkatan kes positif Covid-19, namun permintaan agar moratorium automatik diberikan kepada peminjam tidak dikabulkan.

Peringkat jawatankuasa dijangka bermula Isnin ini (30 Nov) dan dijangka berakhir 15 Dis, diikuti dengan bacaan kali ketiga.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker