UM Tempat ke-9 Terbaik Di Asia Daripada 110 Universiti
Sepuluh universiti termasuk tiga universiti swasta di Malaysia mencatat rekod apabila berada dalam kelompok 110 universiti terbaik Asia.
Universiti Malaya (UM) mendahului universiti lain dengan berada di tempat kesembilan dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2021 yang laporannya dikeluarkan hari ini.
Selain itu, Universiti Putra Malaysia (UPM) berada di tempat ke-28, Universiti Sains Malaysia (ke-34), Universiti Kebangsaan Malaysia (ke-35), Universiti Teknologi Malaysia (ke-39), Universiti Teknologi Petronas (ke-70), Universiti Taylor’s (ke-89), Universiti UCSI (ke-105), Universiti Utara Malaysia (ke-107) dan Universiti Teknologi Mara (ke-108).
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, ia kejayaan terbaik negara setakat ini dan membuktikan bahawa hala tuju Pendidikan Tinggi Negara berada di landasan yang betul.
“Tahun ini adalah separuh penggal pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPMPT) dan menunjukkan peningkatan kualiti serta kecemerlangan institusi pendidikan tinggi tempatan dalam tempoh yang singkat.
“Kejayaan ini juga secara tidak langsung akan terus menempatkan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi di rantau Asia dan dapat membantu institusi menjalinkan kerjasama dengan penyelidik terkemuka dunia,” katanya pada kenyataan.
Noraini berkata, UM buat julung kali berjaya disenaraikan sebagai 10 universiti terbaik di Asia dalam penarafan kali ini berbanding tempat ke-13 pada penarafan tahun lalu.
Beliau berkata, UM turut berjaya mengatasi Universiti Shanghai Jiao Tong yang menduduki tempat-10 dalam penarafan tahun ini.
Shang Jiao Tong adalah universiti terkemuka yang memperkenalkan ‘Academic Ranking of World Universities’ atau lebih dikenali sebagai Shanghai Jiao Tong University Rankings yang menilai kekuatan penyelidikan universiti di seluruh dunia.
Pada siri penarafan kali ini, 35 universiti tempatan tersenarai dengan pertambahan enam universiti baharu berbanding 29 universiti pada tahun lalu.
Selain itu, 24 universiti berjaya memperbaiki kedudukan, tiga universiti mengekalkan kedudukan dan dua universiti jatuh dari kedudukan tahun lalu.-HM
https://mykmu.net/2017/03/26/najib-razak-antara-12-menteri-kewangan-terbaik-asia/