Tugas risikan tak perlu baju kalis peluru, kata polis
Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Baharuddin Ramli yang terkorban dan Norihan Tari, parah dalam insiden berbalas tembak di sempadan Malaysia-Thailand awal pagi semalam tidak memakai baju kalis peluru kerana melakukan risikan bukannya rondaan.
Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata, selain tidak memakai baju kalis peluru, pegawai atau anggota terlibat dalam tugas risikan juga tidak dibekalkan senjata berat kerana ia berisiko mendedahkan identiti mereka.
“Semasa kejadian kedua-dua mereka sedang dalam tugas buat risikan dan bukannya rondaan. Kalau ikut prosedur operasi standard (SOP), semua anggota keselamatan yang bertugas buat rondaan perlu memakai uniform dan kelengkapan perlindungan.
“Tapi sewaktu buat risikan tidak boleh pakai baju kalis peluru dan bawa senjata berat kerana nanti tidak boleh lagi melakukan penyamaran. Kita masih siasat apakah latar belakang kes ini, adakah serang hendap atau sebaliknya,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas ketua polis Perak hari ini.
Acryl Sani ditanya persoalan ditimbulkan orang ramai khususnya warga net mengenai kedua-dua anggota PGA dari pasukan Senoi Praaq yang terlibat dalam insiden semalam bukan sahaja tidak memakai baju kalis peluru, malah hanya bersenjatakan pistol Walther P99.
Dalam insiden 3.10 pagi semalam, Baharuddin, 54, terbunuh, manakala rakannya, Norihan, 39, mengalami kecederaan parah, dan kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis.
Menjelas lanjut, Acryl Sani berkata pihak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman sedang mengkaji dan menilai semula SOP digunakan semasa tugasan rondaan, risikan dan pencegahan untuk memastikan keselamatan pegawai, anggota juga orang awam.
Selain itu, beliau berkata polis sudah memohon untuk mendapatkan 36 kereta perisai (APC) secara berperingkat dalam tempoh lima tahun bagi melaksanakan tugasan rondaan di kawasan sempadan Kedah, Perlis, Kelantan dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) kerana wujud ancaman keselamatan terhadap pegawai serta anggota bertugas.
“Kami perlukan APC ini kerana ancaman oleh pihak yang sentiasa terlibat dengan kegiatan jenayah semakin bertambah. Kena buktikan kami (polis) sentiasa mendahului mereka.
“Permohonan dibuat tahun lepas, kami harap dapat 10 unit untuk peringkat pertama. Ia mengambil masa kerana memerlukan kajian teknikal selain kosnya yang agak mahal,” katanya.
Tanpa menyatakan jumlah APC yang ada sekarang, Acryl Sani berkata kenderaan itu perlu diganti dengan yang baharu memandangkan ada antaranya digunakan sejak lebih 40 tahun lalu iaitu dari zaman insurgensi Komunis. FMT
You must be logged in to post a comment.