Wisma Putra siasat punca rakyat kita jadi gelandangan di Singapura
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengambil langkah segera bagi membantu rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura, selepas sempadan kedua negara ditutup akibat pandemik COVID-19.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Malaysia pada dasarnya tidak pernah menyekat mereka untuk kembali ke tanah air, walaupun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan.
Katanya siasatan juga akan dilakukan bagi mengenal pasti punca yang menyekat mereka daripada pulang, hingga terpaksa meneruskan hidup sebagai gelandangan di negara jiran.
“Wisma Putra akan membantu, dalam apa juga bentuk pertolongan diperlukan. Mereka sepatutnya pulang ke tanah air jika berdepan kesulitan di sana.
“Kami sedang menyiasat, apa sebenarnya punca yang menyukarkan golongan terbabit untuk pulang, dan seterusnya memberi apa juga bantuan diperlukan,” katanya kepada BH ketika dihubungi di sini hari ini.
Hishammuddin diminta mengulas laporan eksklusif BH semalam mengenai ratusan rakyat Malaysia yang kini hidup bagaikan gelandangan di negara jiran, susulan penutupan pintu sempadan.
Kos sara hidup tinggi di negara itu membuatkan mereka yang selama ini berulang alik dari Johor Bahru terpaksa berehat dan tidur di bangku taman awam, masjid atau menumpang mandi di pejabat.
Difahamkan, ramai tidak mengambil peluang skim Pengaturan Ulang-Alik Berkala (PCA) untuk pulang bercuti dan bertemu keluarga di negara ini berikutan pelbagai kekangan, termasuk dari segi kewangan, selain terikat dengan peraturan dikenakan majikan.
Pekerja juga dikatakan tidak dibenarkan bercuti panjang berikutan bebanan kerja ketika penularan COVID-19, selain perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari sebelum dibenar masuk ke Malaysia dan sebelum dibenarkan masuk kembali ke Singapura.
Hishammuddin berkata kementerian masih memerlukan penjelasan sebenar berhubung senario berkenaan.
“Apakah ia membabitkan prosedur kuarantin di rumah atau apa sebenarnya (yang menghalang).
“Jika itu faktor sebenar, saya boleh berbincang dengan kementerian berkaitan untuk membantu,” katanya.
Beliau menegaskan, tiada larangan sekiranya mereka terbabit mahu pulang semula ke Malaysia.
“Mereka tidak dilarang untuk kembali,” katanya.
Demi Rezeki Untuk Anak Dan Keluarga, Rakyat Malaysia Jadi Gelandangan Di Singapura
You must be logged in to post a comment.