Berkesankah kelas atas talian?

Oleh Mohd Nazri Abdul Rahman

“Ada kelas ke hari ni?”

“Eh, kamu belajar ke?”

“Cikgu bagi latihan tak? Dah siap lembaran kerja cikgu bagi di Telegram?”

“Lah! Kelas melalui Whatsapp saja?”

“Line putus-putus, saya tak dapat join kelas, cikgu.”

“Dari 35 orang pelajar hanya lima orang masuk Google Classroom pagi ni!”

“Cikgu, mak saya bawa handphone ke pejabat, saya tak dapat online.”

“Cikgu saya tak dapat buka kamera komputer sebab wifi tak stabil”

“Dr, minggu ni saya tak dapat masuk kelas, data internet saya habis.”

Penyataan di atas mewakili beribu-ribu suara pertanyaan atau keluhan yang sentiasa dilontarkan baik dalam kalangan pelajar, ibu bapa mahupun guru tentang pembelajaran dalam talian. Fenomena ini berlaku implikasi daripada penularan wabak Covid-19. Masyarakat baik di Malaysia mahupun dunia menyaksikan satu perubahan drastik dalam amalan, cara hidup serta tingkah laku sejak bermulanya pandemik Covid-19. Hampir keseluruhan aspek kehidupan manusia di dunia mengalami perubahan dan memberi impak terhadap sosial, ekonomi dan politik. Impaknya, masyarakat mula mengadaptasi norma baharu kehidupan yang perlu ditempuhi dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Sektor pendidikan juga tidak terkecuali, bermula dari peringkat rendah sehinggalah institusi pendidikan tinggi mengalami kesan langsung akibat penularan wabak Covid-19. Di Malaysia, bermula Mac 2020, para pendidik baik di prasekolah sehinggalah ke institusi pendidikan tinggi mula beralih kepada pengajaran dan pembelajaran dalam talian berbanding secara bersemuka di dalam bilik darjah atau dewan kuliah. Norma baharu dalam pengajaran dan pembelajaran dalam talian terus disesuaikan menerusi pelbagai platform seperti Google Classroom, Zoom, Microsoft Team, Telegram Whatsapp dan sebagainya agar pelajar tidak ketinggalan dalam proses pembelajaran. Menerusi pengumuman terbaharu oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada 8 November 2020 tentang penutupan sekolah sehingga hujung tahun ini, suasana pembelajaran dalam talian terus mendapat perhatian masyarakat khususnya guru, pelajar dan ibu bapa terhadap keberkesanan perlaksanannya dalam konteks pendidikan di Malaysia.

Hakikat menyedari bahawa perubahan bentuk pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dalam bilik darjah secara fizikal kepada dunia maya oleh guru dan pelajar semestinya suatu norma baharu kehidupan yang sukar untuk diadapatasi dan memerlukan proses penyesuaian yang agak panjang. Tambahan pula ianya berlaku secara drastik dan dalam jangka masa yang terlalu cepat. Ini, pastinya mendatangkan cabaran besar kepada para pensyarah, guru dan pelajar untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu persekolahan pandemik Covid-19. Persoalannya berkesankah pengajaran dan pembelajaran dalam talian? Sejauh manakah pelajar dapat belajar dan menguasai pembelajaran yang disampaikan secara dalam talian?

Isu dan permasalahan pembelajaran dalam talian

Jika kita teliti isu dan cabaran pembelajaran dalam talian ini dalam konteks pendidikan di Malaysia, kajian yang dijalankan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia antara 28 Mac 2020 hingga 2 April 2020 mendapati 36.9% pelajar tidak mempunyai peranti bagi pembelajaran dalam talian. Justeru, kebimbangan ibu bapa, guru dan masyarakat amnya terhadap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam talian ada asasnya. Tambahan pula, kajian tinjauan oleh pihak NUTP (Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia) pada Mei 2020 terhadap 10,453 orang guru mendapati bahawa guru dan pelajar menghadapi pelbagai isu dan cabaran dalam proses pembelajaran dan pengajaran dalam talian yang meliputi kemudahan Internet, kekekangan peranti, peralatan komputer, kemahiran guru terhadap aplikasi pembelajaran dalam talian dan prasarana digital. Permasalahan ini secara tidak langsung boleh membantutkan proses pembelajaran dan pengajaran dalam talian jika tindakan proaktif dan efisien tidak segera dilaksanakan.

Justeru dalam membudayakan norma baharu pengajaran dan pembelajaran dalam talian proses pengajaran dan pembelajaran guru perlu bersifat dinamik, kreatif dan fleksibel. Keprihatian serta tindakan inovatif guru-guru dalam mendepani isu dan cabaran seperti kemudahan internet, ketiadaan peranti, liputan rendah serta kekangan peralatan komputer untuk pengajaran dan pembelajaran dalam talian antara elemen penting keberkesanan pembelajaran dalam talian. Ini kerana, jika permasalahan ini dibiarkan berlarutan, proses pengajaran dan pembelajaran mungkin terjejas dan memberi kesan negatif kepada pembelajaran pelajar dan komitmen guru baik dari segi psikologi, emosi mahupun pencapaian akademik pelajar.

Selain itu, dalam membudayakan norma baharu pembelajaran dalam talian para pelajar, guru mahupun pensyarah berhadapan dengan isu untuk merangka perancangan P&P sistematik dan ia sama sekali berbeza daripada P&P bersemuka baik dari segi penyampaian pengajaran, bahan pengajaran, pengelolaan aktiviti P&P dalam talian mahupun proses pentaksiran dan penilaian. Sekali lagi, guru mahupun pensyarah berhadapan dengan cabaran untuk melaksanakan pedagogi dalam talian. Proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian pastinya berbeza dengan secara fizikal. Bagaimanakah guru dapat mengawal tingkah laku pelajar semasa pembelajaran dalam talian? Bagaimana guru dapat mempelbagaikan bentuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam talian? Apakah bentuk pembelajaran aktif yang sesuai dilaksanakan oleh guru semasa dalam talian? Persoalan-persoalan berhubung kait dengan kemahiran guru mengaplikasikan pembelajaran dalam talian dan kompetensi guru terhadap aplikasi digital dan teknologi pengajaran.

Pembudayaan norma baharu pembelajaran dalam talian

Usaha membudayakan pembelajaran dalam talian, kesedaran dan tindakan proaktif pensyarah, guru dan pelajar untuk meneroka, mencuba dan penyesuaian pendekatan serta pedagogi baharu baik dalam bentuk aplikasi digital mahupun teknologi pengajaran serta perisian tertentu amat diperlukan. Ini kerana ia dapat meminimakan kekangan yang wujud semasa proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian. Penghayatan dan pemahaman pelajar, guru dan pensyarah tentang pengajaran dan pembelajaran dalam talian secara langsung dapat meningkatkan keupayaan guru untuk lebih kreatif dan inovatif semasa proses penyampaian pengajaran dan pembelajaran dalam talian. Sedar atau tidak, keupayaan guru untuk meningkatkan kompetensi dan kemahiran digital khususnya aplikasi teknologi pengajaran masa kini memberi impak positif terhadap hasil pembelajaran pelajar.

Justeru ibu bapa, guru, pensyarah serta pelajar perlu sedar dan faham bahawa konsep pembelajaran dalam talian meliputi tiga bentuk pembelajaran iaitu pembelajaran segerak, pembelajaran tak segerak dan pembelajaran luar talian. Maka untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berkesan, pensyarah dan guru perlu kreatif dan inovatif dalam mengaplikasikan ketiga-tiga bentuk pembelajaran ini. Secara logiknya, proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian mampu menjadi lebih efektif dan berkesan apabila diadunkan bersama-sama atau mengikut kesesuaian atas kekangan kebolehcapaian internet, keterbatasan peranti dan kemudahan teknologi serta kemudahan dan prasarana digital yang dihadapi. Kebijaksanaan pensyarah dan guru memilih dan mengadunkan bentuk pembelajaran dalam talian ini dapat meminimakan kekangan yang wujud dan seterusnya mengoptimumkan hasil pembelajaran pelajar.

Oleh yang demikian, gerakan membudayakan pembelajaran dalam talian hanya akan berjaya sekiranya pelajar, guru dan pensyarah komited terhadap setiap sesi pengajaran dan pembelajaran dalam talian. Selain meningkatkan kompetensi digital, pensyarah, guru dan pelajar perlu lebih berani untuk meneroka, mencuba dan membiasakan diri dengan norma baharu pembelajaran dalam talian dan seterusnya memperbaiki diri dalam setiap ruang dan peluang yang ada untuk kemahiran pedagogi pembelajaran dalam talian.

Walau bagaimanapun situasinya hari ini, kita yakin bahawa, proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian yang telah berlangsung, kini memasuki fasa baharu. Para pelajar, guru dan pensyarah telah mempunyai pengalaman dan kesediaan untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu pembelajaran dalam talian berbanding seawal pelaksanaanya di bulan Mac 2020. Pastinya kebijaksanaan guru, komitmen pelajar dan sokongan ‘stakeholder’ pendidikan akan dapat meminimakan impak negatif daripada pembelajaran dalam talian Maka, dah sampai masanya untuk mewujudkan kerjasama kukuh antara pihak guru, sekolah, ibu bapa dan seluruh stakeholder pendidikan dalam usaha membudayakan norma baharu pembelajaran dalam talian.

DR MOHD NAZRI ABDUL RAHMAN merupakan pensyarah kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Penulisan ini adalah berdasarkan dapatan dari penyelidikan Projek Pembelajaran Hybrid Pandemik Covid-19 yang didanai oleh Geran Jalinan Masyarakat Universiti Malaya (UMCARES2020-1I) dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP). Beliau boleh dihubungi melalui e-mel di [email protected].

Guru sukar laksana pembelajaran secara ‘online’ ketika PKP

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker