Jabatan Penerangan pertahan van belanjawan, netizen pulak mengkritiknya

Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan mempertahankan tindakannya terhadap kritikan di media sosial berhubung pengumuman awam Belanjawan 2021.

Pengarah jabatan itu berkata, ia membuat siaran sama tahun lepas.

Klip video yang menunjukkan sebuah van jabatan itu memberitahu orang awam mengenai kelebihan belanjawan itu di pasar basah di Taman Tun Dr Ismail pada Sabtu mengundang komen negatif dalam Twitter, dengan beberapa pengguna menyifatkan mesej berkenaan sebagai propaganda dan berkata, ia membazirkan dana awam.

Sebilangan pengguna juga mempersoalkan masa siaran yang dibuat, iaitu sebelum belanjawan tersebut diundi pada Khamis.

Jika ditolak, ia akan membawa peletakan jawatan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Kabinetnya.

“Program ‘Info On Wheels’ bermula secara rasmi pada Januari tahun ini, tetapi Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjalankan projek perintis pada 2019 dengan kami menyebarkan maklumat mengenai belanjawan tahun ini,” kata pengarah jabatan Erwin Khairul Ahmad kepada FMT.

“Kalau anda lihat akaun Twitter dan Facebook kami, anda akan dapati kami melakukan perkara sama pada Oktober dan November tahun lalu dengan kami menyebarkan maklumat mengenai dasar tertentu dalam Belanjawan 2020 seperti MySalam (skim insurans) dan i-Suri (program Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk suri rumah).

“Kami juga aktif di media sosial dan Youtube. Terdapat juga saluran kerajaan lain seperti RTM dan Bernama yang menyediakan maklumat yang sama,” katanya.

Program ‘Info On Wheels’ Belanjawan 2021 bermula pada 8 Nov di 11 kawasan pilihan raya Parlimen di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Pengumuman awam lain jabatan berkenaan, termasuk mendidik masyarakat mengenai Covid-19, perintah kawalan pergerakan dan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan.

Dalam klip video yang menunjukkan program berkenaan yang dijalankan di pasar basah TTDI pada Sabtu, pembesar suara van dapat didengar menjelaskan bahawa belanjawan digubal berdasarkan 3 objektif utama, iaitu kebajikan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

“Strategi utamanya disasarkan untuk mengawal pandemik Covid-19 dan kesihatan awam, menjamin kesejahteraan hidup rakyat, memacu pelaburan, memperkukuhkan sektor tumpuan dan memperkukuh aset perniagaan,” katanya.

“Matlamat dan strategi yang dinyatakan ini adalah bagi memastikan aspek kehidupan rakyat turut terpelihara dan ekonomi negara kekal bertahan meskipun negara dilanda Covid-19.”

Seorang pengguna Twitter tidak bersetuju dengan kenderaan yang “menyiarkan mesej daripada kerajaan” mengenai kelebihan belanjawan, bukannya mendidik masyarakat mengenai Covid-19.

“Inilah distopia yang kita hadapi. Saya berharap ia hanyalah satu mimpi ngeri,” kata @nauwarshukri.

“Senangnya buang duit cukai yang aku bayar…,” kata pengguna Twitter lain @nash_71.

Antara komen lain terhadap video berkenaan yang dimuat naik di Twitter jabatan itu, termasuk “memalukan”, “menyedihkan” dan “tindakan yang terdesak”.
FMT

Guna van ‘jual’ belanjawan, PN kalah perang saraf media sosial – Kadir

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker