Putrajaya perlu ambil langkah berani dan luar biasa untuk selamatkan ekonomi negara – Najib
Najib Razak mempersoalkan sama ada peruntukan untuk Program Subsidi Upah (PSU) yang semakin kecil dalam Belanjawan 2021 mampu menyelamatkan pekerja dan membantu ekonomi sekiranya wabak Covid-19 terus melanda negara tahun depan.
Najib berkata, dana yang dibelanjakan untuk PSU 2021 banyak perbezaan daripada PSU bagi tahun 2020.
Menurutnya, untuk tahun 2020 sekitar RM15 bilion dibelanjakan oleh kerajaan dari April hingga akhir tahun ini bagi memberi subsidi upah RM1,200 sebulan kepada pekerja sektor ekonomi yang berpendapatan RM4,000 sebulan.
“Namun PSU 2021 banyak berbeza berbanding PSU 2020. Jumlah peruntukan turun ke RM2.4 bilion berbanding RM15 bilion, tempoh hanya 3 bulan berbanding 9 bulan, subsidi maksimum turun ke RM600 berbanding RM1,200.
“Bahkan, ia dihadkan untuk sektor pelancongan dan runcit sahaja, berbanding semua sektor (sebelum itu).
“Jumlah majikan yang akan dibantu dianggarkan hanya 70 ribu berbanding lebih 330 ribu. Jumlah pekerja yang akan dibantu hanya 900 ribu berbanding 2.7 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Najib turut mempersoalkan sama ada ahli Parlimen patut menyokong belanjawan yang berkemungkinan besar akan gagal menghalang kemerosotan ekonomi dan menyebabkan jutaan pekerja hilang pekerjaan.
“Bayaran Bantuan Prihatin Rakyat 2021, banyak kategori penerima adalah lebih rendah berbanding Bantuan Prihatin Nasional.
“Bantuan Sarah Hidup 2019 pula jauh lebih rendah berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia pada 2018.
“Manakala moratorium pinjaman automatik secara pukal juga dihentikan. Wang dalam Akaun 2 KWSP bagi programi-Lestari sudah hendak habis dan program PSU 2021 jauh berkurang berbanding PSU 2020,” katanya.
Najib berkata, Putrajaya perlu mengambil langkah berani dan luar biasa dalam menghadapi cabaran luar biasa yang dihadapi negara susulan penularan wabak Covid-19.
“Sebab ini saya memberi 2 syarat kepada kerajaan Perikatan Nasional, namun belum disambut sepenuhnya oleh kerajaan.
“Kerajaan perlu ambil langkah berani yang tidak memberi impak kepada kewangan kerajaan dan hutang negara,” katanya.
You must be logged in to post a comment.