Carrefour terus diserang selepas lelaki kulit hitam dipukul hingga mati
Lebih 1,000 penunjuk perasaan menyerang pasar raya Carrefour di Brazil selepas beberapa pengawal keselamatan memukul seorang lelaki kulit hitam sehingga mati di situ.
Pembunuhan itu yang berlaku pada hari Khamis lalu telah mencetuskan tunjuk perasaan di seluruh Brazil.
Kejadian itu bermula apabila seorang pekerja kedai memanggil pengawal keselamatan setelah lelaki itu didakwa mengancam untuk menyerangnya, kata saluran berita kabel GloboNews.
Rakaman kejadian itu telah disiarkan di media sosial.
Lelaki itu kemudian dikenal pasti oleh bapanya sebagai Joao Alberto Silveira Freitas, 40 tahun.
Laman web berita G1 kemudian melaporkan analisis awal oleh lembaga forensik negeri menunjukkan punca kematian mangsa disebabkan sesak nafas.
Dalam satu kenyataan pada hari Jumaat, Carrefour SA Perancis berkata, pihaknya sangat kesal dengan kejadian yang berlaku yang disifatkannya sebagai kematian yang kejam.
Carrefour berkata, ia mengambil langkah segera untuk memastikan mereka yang bertanggungjawab dihukum secara adil.
Pasar raya itu menambah, ia akan menamatkan kontrak firma keselamatan, memecat pekerja yang menjaga kedai pada masa kejadian dan menutup kedai sebagai tanda penghormatan.
Dalam satu siri tweet dalam bahasa Portugis pada hari Jumaat, Ketua dan Ketua Pegawai Eksekutif Carrefour, Alexandre Bompard berkata, imej-imej yang dikongsi di media sosial ‘adalah tidak sepatutnya’.
Tunjuk perasaan itu menjadi ganas pada hari Jumaat malam ketika para peserta bertindak ganas dengan menghancurkan tingkap dan kenderaan penghantaran di kawasan parkir pasar raya.
Keadaan itu memaksa polis menembak air ke arah penunjuk perasaan.
Di Porto Alegre, penunjuk perasaan menyerahkan pelekat yang menggambarkan logo Carrefour berlumuran darah dan meminta boikot rantaian pasar raya tersebut.
Di Sao Paulo, puluhan penunjuk perasaan menghancurkan tingkap depan sebuah kedai Carrefour dengan batu, menarik pintu depan dan menyerbu bangunan itu, menjatuhkan barang-barang sebelum bersurai.
Di Rio de Janeiro, kira-kira 200 penunjuk perasaan yang berteriak berkumpul di luar lokasi kedai Carrefour yang lain. MG
Ribuan penunjuk perasaan berkumpul di Bangkok selepas PM enggan letak jawatan
You must be logged in to post a comment.