Siput Laut Muncul Di Pantai Rusila Selepas Lebih 50 tahun

MARANG: Penduduk di Pantai Rusila berdekatan Kampung Rhu Dua, di sini berpesta mengutip siput berikutan kemunculan spesies yang didakwa tidak dijumpai di kawasan itu sejak lebih 50 tahun lalu.

Seorang penduduk, El Gamillo Habibun Tan, 40, berkata, orang ramai mula melakukan aktiviti mengutip siput laut itu bersama keluarga masing-masing sejak tiga hari lalu.

Katanya, siput laut yang dikatakan mirip spesies yang terdapat di Sabah dikenali sebagai ‘sikad-sikad’ lebih enak berbanding siput biasa mahu pun kerang dengan rasanya dikatakan seperti sotong.

SEORANG penduduk bersama hasil siput laut yang berjaya dikutip di Pantai Rusila berdekatan Kampung Rhu Dua di Marang, Terengganuhari ini. – UTUSAN/PUTRA HAIRY ROSLI

“Setiap kali musim tengkujuh, biasanya kerang yang muncul tetapi kali ini keadaan berbeza apabila kami mendapat rezeki siput.

“Daripada cerita orang-orang tua, spesies ini dipercayai sudah lama tidak dijumpai dan kali terakhir dilihat adalah semasa mereka kanak-kanak bersamaan lebih 50 tahun lalu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini petang semalam.

Kelmarin, Pantai Pandak di Chendering, Kuala Terengganu menjadi tumpuan pengunjung bagi melakukan aktiviti mengutip kerang.

Seorang lagi penduduk, Kamariah Mohamad, 64, tidak menyangka berpeluang menikmati hidangan siput laut yang kali terakhir dimakan sekitar tahun 70-an.

Katanya, dia bersama suami berkunjung ke pantai itu selepas mendengar cerita orang ramai tentang kemunculan siput tersebut sekali gus berhajat untuk membeli untuk dimasak di rumah.

“Kebiasaannya siput ini dikukus atau direbus tetapi saya mungkin memasak gulai lemak bagi memenuhi permintaan anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (Akuatrop), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Norainy Mohd. Husin berkata, pihaknya perlu turun ke lapangan untuk melihat secara terperinci spesies siput laut tersebut.

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=eeHZX4Hc9H4[/embedyt]

“Bagaimanapun berdasarkan gambar dan video, hidupan laut ini ialah Margistrombus.

“Siput yang boleh dimakan ini banyak terdapat di perairan Indo-Pasifik termasuk Sabah dan Johor cuma di Terengganu, kemunculannya mungkin disebabkan beberapa faktor semulajadi yang memerlukan kajian lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Ekslusif: Spesies burung separuh jantan, separuh betina ditemui

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker