Mahathir imbas Langkah Sheraton, PH khianat kerana beri undi pada Anwar

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengimbas kembali usaha Pakatan Harapan (PH) untuk mengambil alih semula kerajaan sebelum ini di tengah-tengah kebuntuan hubungannya dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Hal ini selepas ramai pihak menyatakan hubungan Mahathir dan Anwar berterusan merosot meskipun selepas berdamai pada 2016 lalu.

Perselisihan terbaru muncul ketika Mahathir, dalam sebuah wawancara, mendakwa Anwar tidak mampu mentadbir negara ketika krisis melanda.

Ini menyebabkan PKR mula menyalahkan Mahathir atas ketidakstabilan politik yang terjadi selepas dia meletakkan jawatan sebagai perdana menteri tanpa berunding dengan PH.

Parti itu turut mendakwa bekas perdana menteri itu cuba menumpaskan usaha gabungan mereka semata-mata untuk kembali berkuasa.

Namun hari ini, Mahathir mempertahankan keputusannya untuk meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Dia turut mengulangi hasratnya untuk membantu PH kembali berkuasa namun dia tidak lagi diterima Anwar.

“Benar dahulu saya berpendapat bahawa kerana sebab tertentu dia (Anwar) hilang kelayakan untuk menjadi perdana menteri Malaysia.

“Tetapi apabila (bekas perdana menteri) Najib Razak menjadi kleptokrat, saya sanggup bekerjasama dengan Anwar untuk jatuhkan Najib.

“Saya tidak menentang cadangan PH bahawa Anwar akan mengganti saya apabila saya letak jawatan.

“Tetapi belum pun sampai masanya konco-konco Anwar mendesak supaya saya letak jawatan,” katanya.

Menurut perjanjian dalam PH, gabungan itu bersetuju untuk melantik Mahathir sebagai perdana menteri ketujuh dengan syarat dia akan memberikan jawatannya itu kepada Anwar kelak.

Sebelum ini, Mahathir juga telah menyandang jawatan perdana menteri keempat dengan Anwar sebagai timbalannya pada 1993 sehingga 1998 tetapi mereka berselisih pendapat, yang membawa kepada pemecatan Anwar.

Mahathir juga telah menyebabkan Anwar dipenjara atas tuduhan liwat dan rasuah.

Mereka kemudian berdamai pada 2016, namun hubungan baik itu tidak bertahan lama ekoran berlakunya Langkah Sheraton pada Februari lalu, yang menyaksikan kejatuhan PH.

 

Muhyiddin guna tekanan dari penyokong Anwar

Ketika penyokong Anwar menggesa Mahathir untuk meletakkan jawatan, Mahathir –yang merupakan pengerusi Bersatu pada ketika itu- berkata, presidennya Muhyiddin Yassin telah menggunakan peluang itu untuk mendesak parti mereka agar keluar dari PH.

“Pada 21 Februari 2020, saya diberitahu oleh Muhyiddin dan beberapa pemimpin Bersatu bahawa pada malam itu Mesyuarat Majlis Presiden PH akan mendesak supaya saya letak jawatan untuk Anwar dilantik sebagai perdana menteri. Kononnya saya akan dipaksa lantik Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dengan segera.

“Tujuan Muhyiddin ialah supaya saya setuju Bersatu keluar dari PH untuk jatuhkan kerajaan PH. Muhyiddin, Azmin Ali (Ahli Parlimen Gombak) dan Hamzah Zainudin (Ahli Parlimen Larut) sudah rancang untuk bekerjasama dengan Muafakat Nasional untuk tubuh kerajaan baru mengganti PH.

“Namun, Mahathir mengatakan, tekanan yang dia kononnya akan hadapi semasa majlis presiden PH tidak menjadi kenyataan.

“Pakatan jahat untuk tolak saya tidak menjadi kenyataan seperti yang didakwa oleh Muhyiddin dan konco-konconya.

Saya berpendapat tidak ada sebab kenapa saya perlu bersetuju untuk Bersatu keluar dari PH,” tambahnya.

 

Mahathir turut berkata, dia telah memberitahu Muhyiddin dan Bersatu agar tidak keluar dari PH ketika mesyuarat pada 23 Feb.

“Saya merayu supaya ditangguh cadangan Bersatu untuk keluar dari PH. Saya syor supaya Bersatu tunggu dan lihat akan perlakuan PH.

“Pendek cerita majlis tolak syor saya dan setuju Bersatu keluar dari PH dengan serta-merta. Ada yang tumbuk meja dan dengan lantang sokong Muhyiddin untuk keluar dari PH.

“Bagi saya ini adalah keputusan muktamad. Ia merupakan kepercayaan kepada saya sebagai pengerusi parti sudah tidak ada. Keputusan itu juga bermakna Bersatu sudah keluar dari PH dan kerajaan PH sudah jatuh,” jelasnya.

Maka dengan itu, Mahathir membuat keputusan untuk melepaskan jawatannya.

Muhyiddin kemudian membentuk gabungan baru bersama pembangkang ketika itu termasuk Umno dan PAS dan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri baru 1 Mac lalu di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mahathir akhirnya digulingkan dari Bersatu kerana enggan bergabung bersama kerajaan baru dan mengecam Muhyiddin kerana bekerjasama dengan “penjenayah Umno”.

 

Dr M: Saya ada majoriti kalau PH tak sokong Anwar

Mahathir turut menjelaskan, PH mempunyai peluang untuk kembali ke Putrajaya ketika Yang di-Pertuan Agong melakukan pertemuan bersama semua anggota parlimen untuk menentukan siapa mempunyai majoriti sebelum Muhyiddin angkat sumpah.

Pada ketika itu, Mahathir berkata dia telah meraih sokongan dari 66 ahli parlimen dan dengan mudah dapat majoriti jika 92 wakil rakyat dari PH turut menyokongnya.

Bagaimanapun, katanya, Anwar memujuk ahli parlimen PH untuk menyokongnya.

“Jika ketiga-tiga parti dalam PH menamakan saya sebagai calon (perdana menteri) mereka, saya akan dapat 158 undi setelah ditambah dengan 66 ahli yang sokong saya.

“Tetapi kerana mereka beri 92 kepada Anwar, saya kalah dan Anwar juga gagal,” tambahnya.

Kemudian, baru PH membuat keputusan untuk menyokong Mahathir lagi, namun pada ketika itu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa ahli parlimen telah tinggalkan bekas perdana menteri tersebut.

“Setelah pencalonan Anwar gagal, PH ingin kembali sokong saya sebagai calon perdana menteri.

“Anwar juga bersetuju tetapi dengan syarat dia dilantik sebagai timbalan perdana menteri. Saya tidak bersetuju kerana ingin kekal kabinet lama.

“Akhirnya Anwar bersetuju dan usaha dibuat untuk dapat jumlah yang cukup untuk PH kembali jadi kerajaan. Dengan sokongan dari ahli parti Sabah, jumlah meningkat kepada 114.

“Malangnya Muhyiddin sudah berjaya mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong untuk dia dilantik sebagai perdana menteri,” jelasnya.

Terdapat wakil rakyat dari kedua-dua belah pihak yang beralih sokongan sejak itu.

Kini, Muhyiddin mendapat sokongan 112 daripada 222 ahli parlimen.

Terdapat dua kekosongan kerusi wakil rakyat susulan kematian penyandangnya baru-baru ini.

PH masih berusaha untuk meraih kembali kuasa namun hubungan dingin Mahathir dan Anwar dilihat menjadi halangan.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker