‘Korban’ Gaji RM80,000 Sebulan

 

Dulu jual pakej pelancongan antara RM2,500 hingga RM8,500 sekepala dan kini, Nik Mohd Heezrad, 34, menjual ayam berharga RM6 sekilogram (bergantung kepada harga pasaran).

Itu realiti dihadapi Nik Mohd yang pernah memperoleh pendapatan antara RM50,000 hingga RM80,000 sebulan sebagai pemilik agensi pelancongan Ezigo Holiday Sdn Bhd.

Ezigo Holiday Sdn Bhd yang ditubuhkan bersama isteri, Nur Izzati Md Zuldin, 32, pada 2014 bagaimanapun terpaksa menghentikan operasi buat sementara pada Mei lalu akibat penularan Covid-19.

Pada masa sama, 11 kakitangan syarikat berkenaan turut terjejas dengan pemberhentian sementara operasi.

Pada Julai lalu, Nik Mohd dan Nur Izzati menubuhkan Heezrad Ayam Sdn Bhd.

“Saya kuatkan semangat dan cekalkan hati untuk belajar berkaitan perniagaan ayam dengan pergi ke pasar borong, kedai runcit, pasar raya dan banyak tempat lain.

“Apa yang pasti, jual ayam sama saja dengan jual pakej pelancongan. Apa yang perlu ialah mendapatkan keyakinan pelanggan,” katanya.

Ada hikmah di sebalik ini semua, kata Nik Mohd.

“Saya kini bercampur dengan ramai orang seperti peniaga kedai, pelanggan kedai makan dan pekerja pasar yang sebelum ini jarang saya lakukan kerana kesuntukan masa dan lain-lain faktor,” katanya.

Menurut Nik Mohd, semangatnya untuk berniaga ayam juga semakin meningkat kerana 11 kakitangan Ezigo Holiday Sdn Bhd tetap setia bersamanya dan Nur Izzati.

“Dulu mereka bertugas sebagai pegawai pemasaran dan lain-lain namun kini, ada yang jadi penghantar ayam.

 

PEKERJA Heezrad Ayam menyiapkan tempahan pelanggan.
PEKERJA Heezrad Ayam menyiapkan tempahan pelanggan.

 

“Ada juga yang masih meneruskan tugas sebagai pegawai pemasaran, cuma yang dijual ialah ayam dan bukannya pakej pelancongan,” katanya yang tinggal di Desa Melati, Nilai, Negeri Sembilan.

Mengimbau penubuhan Heezrad Ayam Sdn Bhd yang beroperasi di Salak Tinggi, Sepang, Nik Mohd berkata, dia bertekad memulakan perniagaan itu selepas mendapati usaha dilakukan sebagai penghantar makanan dengan menggunakan pacuan empat roda sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapat sambutan.

Katanya yang dikurniakan empat anak berusia sebulan, tiga tahun, enam tahun dan 10 tahun, ketika itu, selain ayam, dia turut mengambil pesanan sayur-sayuran, buah-buahan selain ikan.

“Saya dapati bekalan ayam paling mendapat permintaan tinggi. Saya dapatkan bekalan daripada kilang di Nilai, Negeri Sembilan sebelum memulakan perniagaan sendiri.

“Saya tidak menoleh ke belakang dan terus membeli peralatan seperti pemanas air berharga RM11,000, mesin pencabut bulu ayam dan mesin pemotong ayam, masing-masing berharga RM3,000 untuk melancarkan operasi,” katanya.

Heezrad Ayam Sdn Bhd juga mempunyai pelanggan tetap terdiri daripada pengusaha kantin kilang, kedai runcit dan pasar borong.

Bekalan ayam diperoleh di Melaka secara kontrak.

Menurut Nik Mohd, walaupun ‘terduduk’ dengan keruntuhan sektor pelancongan namun dia dan isteri tetap percaya, Allah SWT maha adil dan melorongkan mereka rezeki sebagai peniaga ayam untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Pendapatan diperoleh ketika ini memang sangat jauh berbeza berbanding masa senang lalu namun saya dan isteri tetap bersyukur kerana kami diberi rezeki untuk bangkit semula.

“Bagaimanapun, saya percaya, satu hari nanti, industri pelancongan akan kembali berkembang dan Ezigo Holiday Sdn Bhd akan ‘kembali beraksi’,” katanya yang sedang menunggu kelulusan pinjaman bank untuk membuka kilang memproses ayam.-HM

Menteri PH Cap Ayam – Najib

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker