Setia jadi abang bomba

Melihat beberapa rakan selebriti ketika bersama-sama menyertai Big Stage musim pertama seperti Andi Bernadee, Wani Kayrie, Afieq Syazwan, Baby Shima dan Sissy Imann kini rancak mengatur perjalanan kerjaya seni mereka, Syafiq Farhain, 26, pula seakan menyepi.

Sedar mengenai perkara itu, Syafiq ketika ditemui pada sesi fotografi bersamanya baru-baru ini berkata, dia gembira melihat rakan-rakanya yang lain masih aktif mengorak langkah.

“Saya tahu perkembangan kerjaya seni rakan-rakan. Itu rezeki mereka pada ketika negara masih belum bebas dari cengkaman penularan Covid-19 hingga kini, Alhamdulillah rakan-rakan tetap aktif.

“Saya doakan mereka terus berjaya kerana masing-masing memang berbakat. Untuk saya pula, saya kini dalam proses melancarkan lagu baharu.



“Lagu yang dirakam lebih setahun lalu itu sepatutnya sudah dilancarkan.

Bagaimanapun, disebabkan penularan Covid-19, banyak perancangan dibuat perlu ditunda,” katanya.

Masih mahu merahsiakan judul lagu baharunya itu, Syafiq berkata, judulnya perlu ditukar kerana sama dengan lagu seorang penyanyi wanita popular.

“Genre muzik juga tidak jauh beza. Jadi, saya tidak mahu cuba menimbulkan perbandingan atau kaitan dengan lagu orang lain. Oleh itu, tunggu sajalah nanti.



“Bila ia (lagu) akan dilancarkan, setakat ini saya belum ada tarikhnya. Boleh jadi, pada Disember ini atau tahun depan. Apapun, saya memang rindu nak lancar lagu baharu. Saya harap peminat akan terus menyokong saya walaupun sudah lama menyepi. Saya ambil pendekatan berdiam diri kerana memikirkan tiada lagu atau cerita baharu untuk dikongsi.

“Namun, apabila sudah berbulan-bulan saya diam, terfikir juga yang tak salah pun jika saya muncul membuat fotografi bersama pihak media walaupun sekarang masih Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya.

Menurut Syafiq, syarikat rakaman Rusa Music juga melaksanakan protokol prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, hanya artis, jurugambar dan pengurus sahaja ada di studio sepanjang bekerja.



Masih memiliki kerjaya dalam pasukan bomba, Syafiq atau nama sebenarnya Nursyafiq Farhain A M Salim berkata, dia akan tetap bertahan dengan tanggungjawab yang digalas itu.


“Walaupun tugasan saya lebih tertumpu dalam pejabat, kerjaya bomba tetap di hati. Saya tidak pernah terfikir mahu melepaskan kerjaya ini demi memberi tumpuan penuh pada bidang seni.

“Setakat ini, saya selesa dengan dua kerjaya. Lagipun, pembabitan dalam nyanyian kerana minat dan mewarisi bakat bapa, Allahyarham Saleem Iklim.

Saya bersyukur Allah kurniakan bakat menyanyi ini,” katanya.



Mengakui kerjaya seninya belum berada pada tahap stabil, Syafiq berkata, dia perlukan kerja tetap berikutan ada komitmen peribadi dan keluarga yang harus diberikan perhatian.

Cuba bakat cipta lagu

Pernah popular dengan lagu Sayang Maafkan Aku, Syafiq yang aktif menyanyi sejak empat tahun lalu sudah melancarkan kira-kira lima lagu.

Kali terakhir dia tampil melancarkan lagu berjudul Sakit Hati kira-kira 11 bulan lalu. Pun begitu, lagu berkenaan seakan tidak menyengat dan kurang mendapat perhatian.



Enggan berasa kecewa dan patah semangat, Syafiq akan terus berkarya dan sekali sudah melangkah, dia tidak mahu berundur.

Katanya, bukan mudah dapatkan peluang dan ia perlu dihargai.

“Sebenarnya apabila melihat ramai rakan penyanyi lain muncul dengan menyanyikan lagu ciptaan mereka sendiri, saya teringin juga. Setakat ini, saya juga sudah mula cipta lagu.

“Bagi saya, mencipta lagu sendiri ini sangat bagus untuk penyanyi. Ini kerana, karya lagu itu pastinya lahir dari hati yang mudah untuk difahami serta liriknya juga dekat dengan jiwa.



“Tidak semestinya lagu itu ada kena-mengena dengan peribadi sendiri. Cuma, apabila hasil karyanya milik kita pasti segala rencah pada situasi yang nak disampaikan itu lebih senang dirasai,” katanya.

Menurut Syafiq, menjadi impiannya semoga pada tahun depan dia akan berpeluang melancarkan karya lagu hasil ciptaan dan sentuhan sendiri kepada peminat. HM

Ustaz Abu Syafiq Suruh Youtuber Wajib Bertaubat Segera, Sekali Alieff Irfan ‘sound’ balik

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker