Ku Li cuba runtuhkan kerajaan, akrab dengan Dr M, kata pemimpin PPBM

Seorang pemimpin PPBM menyelar Tengku Razaleigh Hamzah sebagai seorang veteran Umno “tidak relevan” yang cuba meruntuhkan kerajaan Perikatan Nasional apabila mahu Umno bertanding di semua kerusi tradisi.

Malah, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Muhammad Faiz Na’aman, cuba mengaitkan Tengku Razaleigh dengan seteru Umno, Dr Mahathir Mohamad, mengatakan kedua-dua ahli politik itu tidak menyokong kepimpinan presidennya, Muhyiddin Yassin, sebagai perdana menteri.

“Bukan lagi rahsia keakraban hubungan persahabatan Tengku Razaleigh dengan Mahathir yang pernah ditentangnya melalui Parti Semangat 46 dahulu, di mana sekarang ini mereka sama-sama amat ‘risau’ jika Presiden PKR, Anwar Ibrahim dapat naik menjadi perdana menteri,” katanya dalam kenyataan.

Pemimpin PPBM itu juga mengingatkan bahawa Tengku Razaleigh pernah gagal menjadi perdana menteri, sambil memuji seorang lagi pemimpin Umno, Annuar Musa.



Beliau mengangkat ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Annuar Musa, kerana “mendendangkan penyatuan bangsa berskala nasional”, melalui perkongsian kuasa secara “adil” dan “realiti” antara parti-parti politik yang “signifikan”.

“Amat berbeza pendekatan dan cara berfikir 2 tokoh politik dari Kelantan ini yang dipisahkan dari segi usia. Tengku Razaleigh masih berfikiran Malaysia wajar dinaungi oleh satu parti autokratik tunggal seperti zaman 80-an dahulu,” katanya.

Semalam, Tengku Razaleigh dalam temubual The Malaysian Insight membayangkan pergaduhan antara Umno, PAS, dan PPBM di masa depan, lantaran berebut kawasan sama menjelang pilihan raya umum.

Beliau juga mempersoalkan apakah untungnya bagi Umno meneruskan pakatan itu, bukan sahaja kerana kerusi-kerusi “tradisi” yang kini disandang pemimpin PPBM, malah tidak banyak jawatan Kabinet diberi kepada Umno, walaupun sokongannya memastikan Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.



Faiz berkata Tengku Razaleigh memang “kurang senang” dengan penubuhan Muafakat Nasional sebelum wujudnya kerajaan Perikatan Nasional, berkali-kali menggesa Umno mengkaji balik kerjasamanya dengan PAS dan PPBM, dan pernah mencadangkan pemimpin Umno berundur dari Kabinet.

Beliau menyorot perhatian kepada kemahuan Tengku Razaleigh yang mahu Umno bertanding di kerusi tradisinya yang kini disandang oleh bekas-bekas pemimpin yang keluar parti, seperti Parlimen Pagoh, yang diduduki Muhyiddin.

“Kerusi Parlimen yang sedang disandang oleh perdana menteri kerajaan yang disokong oleh Umno sendiri sekarang ini. Jika ini bukan cubaan untuk meruntuhkan kerajaan PN maka apa pula?”

Jika bukan Muhyiddin sebagai perdana menteri, siapa yang Tengku Razaleigh mahu lihat menjadi perdana menteri, tambahnya.



“Adakah Mahathir buat kali ke-3? Adakah watak yang sedang menghadapi perbicaraan mahkamah kerana kes-kes korupsi sekarang ini?” katanya, tanpa menamakan siapa watak itu.

Faiz berkata bangsa “kita” tidak akan maju seperti bangsa maju lain jika dilayan suara bekas menteri kewangan itu, yang menurutnya “masih dibuai sentimen dan nostalgia”.

“Kita akan terus berada dalam putaran dendam politik silam dan politik yang berasaskan ketaksuban terhadap personaliti tertentu sahaja,” katanya.

“Kita akan mewarisi “perang” politik orang-orang terdahulu yang banyak merugikan agama, bangsa dan negara.” FMT



Peluang terbaik Mahathir, Ku Li satukan kembali orang Melayu

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker