Isu rasuah imigresen, ia ‘rahsia yang terbuka’
Banyak aduan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa diterima Malaysia Corruption Watch (MCW) membabitkan pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara terutama pada musim penularan pandemik Covid-19.
Presiden MCW Jais Abdul Karim berkata, pihaknya mendapati hal berkenaan sudah lama menjadi ‘rahsia yang terbuka’ susulan terdapat kartel yang bersekongkol dengan pegawai JIM dalam hal berkaitan ketirisan ini.
“Aktiviti rasuah dalam kalangan anggota kartel ini menjadi tambah menggila sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
“Pendatang asing tanpa izin (PATI) sememangnya bersungguh-sungguh untuk masuk ke negara kita bagi menjalankan perniagaan.
“Contoh terbaik adalah di Pasar Borong Selayang yang berterusan dikuasai oleh pendatang Myanmar dan Bangladesh walaupun pelbagai aduan dan cadangan dilakukan,” katanya semalam.
Jais berkata, ketirisan ekonomi dalam bidang itu juga berlaku kerana segelintir rakyat Malaysia yang tidak berminat berniaga terutamanya dalam bidang yang leceh dan kotor.
“PATI pula sedar bahawa inilah kelompongan ekonomi yang boleh diambil alih dan mereka sedia bekerjasama dengan sesiapa saja sama ada baik atau jahat termasuklah kongsi gelap atau kartel haram demi menguasai ekonomi di Malaysia.
“Menurut maklumat orang ramai, PATI bermula sebagai peminta sedekah dan kemudiannya menjadi tauke yang kaya raya. Mereka seterusnya berkawan rapat dengan ketua di agensi penguatkuasaan terutamanya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana mahu jalan pintas bagi memproses kad pengenalan rakan mereka yang lain.
“Selain itu, mereka juga rapat dengan ahli-ahli politik untuk membuka ruang peluang membawa masuk lebih ramai PATI ke negara ini,” katanya tadi.
Beliau berkata, kejayaan operasi dijalankan secara bersama oleh SPRM dan JIM bagi melumpuhkan aktiviti rasuah membabitkan sindiket menyalahgunakan pengesahan cop keluar dan masuk sempadan utama negara adalah sesuatu yang baik.
“Namun pada masa sama, rakyat juga merasa cemas melihat peningkatan masalah yang berlaku di sempadan negara walaupun semua pintu sempadan masih ditutup atas tindakan dan usaha kerajaan untuk membendung penularan pendemik Covid-19.
“Justeru, MCW menggesa JIM supaya bertindak lebih tegas terhadap mana-mana majikan yang menggaji dan melindungi PATI,” katanya.
Katanya, langkah itu penting kerana masih terdapat majikan yang berdegil melanggar peraturan ditetapkan berhubung proses pengambilan pekerja warga asing di negara ini.
“Selain daripada memperkukuhkan integriti pihak berkuasa di sempadan, terdapat beberapa cadangan lain yang boleh diambil bagi mengatasi masalah ini.
“Ini termasuk bantuan daripada komuniti yang tinggal berhampiran sempadan melaporkan sebarang kegiatan salah laku kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Awam Malaysia (SPRM).
Pihaknya menyarankan supaya JIM memastikan pegawai mereka dilatih dan dibentuk menjadi insan berintegriti tinggi menerusi kaedah latihan yang lebih berkesan.
“Hukuman lebih berat ke atas pegawai yang menyalah guna kuasa dan mengambil rasuah perlu diperkenal dan diperkasakan.
“Kami berharap pihak JIM dapat memperkenalkan dan menggunakan teknologi keselamatan terkini dalam memastikan keselamatan sempadan negara terjamin dan lebih selamat.
“Kerjasama yang berterusan antara pihak berkuasa dalam negara adalah sangat penting bagi memastikan masalah ini diatasi dengan segera,” katanya.
Menurutnya. MCW menekankan faktor kesedaran mengenai fungsi dan peranan rakyat sebagai ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa perlu terus dipupuk, dididik dan dilatih secara berterusan. HM
You must be logged in to post a comment.