Perniagaan batu nisan, belindan pilihan keluarga Mahathir

KOTA BHARU, 16 Nov — Tidak keterlaluan jika dikatakan perniagaan berkaitan kematian kurang digemari oleh kebanyakan masyarakat tanpa mengira bangsa, apatah lagi oleh orang muda.

Namun, bagi Mahathir Mohd Ali, 45, perniagaan batu nisan dan belindan (kepungan konkrit di kubur) menjadi sumber pendapatan keluarga sejak 10 tahun lepas dan kini diuruskan oleh abang dan adiknya selain dua anaknya, Mohammad Noor Aiman, 20 dan Mohammad Haziq, 19.

Menurut Mahathir, Ukiran Nisan Anak Muda kini mempunyai enam cawangan iaitu tiga di Perak, dua di Melaka serta satu di sini yang diuruskan oleh Mohammad Haziq.

“Saya ikut bapa lakukan kerja membancuh simen untuk buat batu nisan dan belindan sejak berusia 12 tahun, jadi saya tidak kekok uruskan perniagaan ini,” kata anak muda itu ketika ditemui di kedainya di sini baru-baru ini.

Berbeza dengan tanggapan umum yang orang muda sepertinya tidak berminat dalam urusan berkaitan kematian, Mohammad Haziq berkata perniagaan itu sentiasa mengingatkannya tentang kematian, sekali gus menyebabkannya berusaha mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Bercerita lanjut, anak keempat daripada enam beradik itu berkongsi kisah dua pelanggannya yang masih hidup menempah batu nisan dan belindan untuk diri sendiri.

“Mereka meletakkan batu nisan dan belindan itu yang siap diukir nama dan tarikh lahir mereka di depan pagar rumah masing-masing. Ruang tarikh kematian masih kosong,” katanya yang mula menguruskan cawangan Ukiran Nisan Anak Muda di Kelantan kira-kira dua tahun lepas.

Sementara itu, Mahathir berkata walaupun mereka sekeluarga anak jati Ipoh, Perak, Mohammad Haziq sanggup tinggal berjauhan daripada keluarga bagi menguruskan perniagaan.

Katanya seorang lagi anaknya Mohammad Noor Aiman pula menguruskan cawangan di Perak sementara dua cawangan di Melaka dikendalikan, masing-masing oleh abang dan adiknya, Alizar, 49 dan Mohd Ilmi, 34.

Batu nisan ini dijual antara RM250 dan RM10,000, bergantung pada jenis batu dan saiz, katanya, menambah permintaan lazimnya tinggi pada Ramadan dan menjelang sambutan Aidilfitri.

“Antara jenis batu nisan dan belindan yang menjadi pilihan ialah granit merah, hitam yang diukir serta agak mahal dan menjadi pilihan golongan berada,” katanya.

Menurut Mahathir, masa yang diambil untuk menyiapkan satu-satu tempahan ialah antara satu dan tiga minggu, bergantung pada jenis batu.

— BERNAMA

Perusahaan Batu Nisan, Cara Dekatkan Diri Dengan Allah – Mahathir

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker