Kerajaan perpaduan hanya muslihat Mahathir halang Anwar jadi PM

Share

Seorang penganalisis melihat sokongan berterusan Dr Mahathir Mohamad untuk kerajaan perpaduan hanya muslihat bagi menghalang Presiden PKR Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata, selagi Mahathir masih ada, beliau akan melakukan yang terbaik untuk menghalang usaha Anwar menerajui jawatan tertinggi itu.

Katanya, ini dapat dikesan melalui zaman kejatuhan keduanya pada 1990-an ketika Anwar menjadi timbalan Mahathir dalam kerajaan itu.

“Ia tiada kaitan dengan kerajaan perpaduan. Secara asasnya adalah agenda peribadi Mahathir untuk memastikan Anwar tidak menjadi perdana menteri. Tiada yang lebih daripada itu.


“Walaupun (Mahathir) sendiri tidak menjadi perdana menteri, sesiapa sahaja boleh jadi, kecuali Anwar.

“Malah perjanjian 2018 (ketika Mahathir dan PPBM sebahagian daripada Pakatan Harapan) berakhir dengan begitu buruk. Mahathir tidak pernah berniat membiarkan Anwar mengambil alih,” katanya kepada FMT.

Penganalisis politik Universiti Malaya Awang Azman Pawi berkata, Mahathir seolah-olah “tersekat dalam dunianya sendiri” di mana tidak ada orang lain selain dirinya yang layak memimpin negara.


Katanya, Mahathir sudah bertindak menjatuhkan Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak kerana mereka tidak ikut kemahuannya, walaupun beliau memilih Abdullah sebagai pengganti dan kemudian memberikan kepercayaan kepada Najib.

“Ia jelas bahawa Mahathir dibelenggu oleh alasan peribadi dalam usaha untuk menafikan Anwar menjadi perdana menteri. Hakikatnya, Mahathir takut pada Anwar, yang jauh lebih mampu daripada Mahathir jika diberi peluang menjadi perdana menteri, di mana beliau akan menyebabkan legasi Mahathir mula dilupakan rakyat,” katanya kepada FMT.

Awang Azman menambah, legasi Mahathir berada dalam bahaya dengan parti barunya Pejuang tidak dapat pergi jauh selagi Anwar dan PKR menjadi tulang belakang pembangkang.

Baru-baru ini Mahathir berkata sebuah kerajaan perpaduan akan menjadi hala tuju bagi Malaysia kerana rakyat mula muak dan penat dengan politik di tengah-tengah pandemik Covid-19.

Beliau menambah masalah parti perlu diketepikan untuk mengurangkan politik, dengan mengatakan kerajaan yang tidak mengutamakan politik berdasarkan parti akan menjadi pilihan yang baik.

Komen itu menyusul selepas beliau mengatakan Anwar tidak akan menjadi perdana menteri yang baik kerana ahli Parlimen Port Dickson itu tidak akan mampu memimpin negara ketika krisis kewangan.

Ini menyebabkan Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin menyelar Mahathir, dengan memberitahu bekas perdana menteri itu berhenti berusaha memecahbelahkan gabungan PH. FMT

Mahathir mainkan rakyat Sabah untuk halang Anwar – Kitingan

Leave a Reply