Tuduhan ke atas Dr Mahathir satu kenyataan gelojoh, tidak berasas - Pejuang · MYKMU.NET

Tuduhan ke atas Dr Mahathir satu kenyataan gelojoh, tidak berasas – Pejuang

Share
Tuduhan ke atas Dr Mahathir satu kenyataan gelojoh, tidak berasas - Pejuang
KUALA LUMPUR: Tindakan PKR yang menuduh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghalang usaha mengembalikan mandat rakyat disifatkan sebagai gelojoh dan tidak berasas.

Ketua Penerangan (Penaja) Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Ulya Aqamah Husamudin berkata punca Langkah Sheraton terjadi adalah kerana pengkhianatan daripada kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Jika Dr Mahathir mahu kekal sebagai perdana menteri sehingga hari ini, beliau boleh sahaja dengan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana beliau sebenarnya adalah calon Perdana Menteri PN.

“Namun, Dr Mahathir tidak bersetuju dengan pengkhianatan tersebut dan beliau bersedia dibuang daripada parti yang beliau bina sendiri demi pertahankan mandat rakyat dan mengotakan janji kepada komponen Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Sehubungan itu, beliau meminta agar semua pihak mencari titik tengah persamaan dalam mengembleng usaha dan bekerjasama untuk menolak kerajaan yang dicuri dan bersekongkol dengan kleptokrat.

“Andai Dr Mahathir tidak meletakkan jawatan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kumpulan Mohamed Azmin tetap akan keluar daripada PH serta tetap akan menyebabkan kerajaan PH jatuh,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sewaktu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi, beliau sendiri memberitahu angka ini tidak termasuk Pejuang.

“Hakikatnya PKR terlebih awal tidak mahu bekerjasama dengan pihak Pejuang dan lebih memeranjatkan sanggup bersekongkol dengan UMNO termasuk beberapa ahli politik Kleptokrat.

“Bagaimana tuduhan dilemparkan kepada pihak Dr Mahathir dan Pejuang, sedangkan pihak Anwar sendiri tidak membincangkan soal sokongan,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mendakwa Dr Mahathir cuba menghalang Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa.

Ini selepas Dr Mahathir, yang merupakan bekas pengerusi PH secara terbuka mendakwa Anwar tidak mampu memimpin negara ini yang sedang berhadapan krisis ekonomi.-Awani

Kadir Jasin menuduh beberapa Sultan menghalang Mahathir dari menjadi PM

Leave a Reply