Dinamika politik Covid-19

Share

SEJAK Mac 2020 sehingga November 2020, kita telah menelusuri dinamika politik tanah air yang unik. Ia juga berlaku ketika koronavirus (Covid-19) mula menjadi satu malapetaka di seluruh dunia, menular dengan begitu pantas. Politik Malaysia juga bergerak dengan deras seolah-olah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan pada bila-bila masa.

Sejak Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih teraju kepimpinan tanah air pada 1 Mac 2020 dengan majoriti mudah, beliau sering berhadapan dengan persoalan legitimasi politik walaupun adalah kerajaan sah lantikan Yang di-Pertuan Agong.

Namun, disebabkan ‘politik angka’ menjadi taruhan, kerajaan PN sentiasa diasak, bukan kerana dimensi aturan politik luaran tetapi konfigurasi dalaman yang masih tiada keyakinan menyeluruh. Pada masa yang sama, pertembungan antara nyawa dan upah, kesihatan dan ekonomi kini membelenggu persepsi ke atas pasukan kepimpinan beliau.

Dinamika politik Malaysia

Apakah Malaysia bersedia untuk PRU15? Adakah pengalaman pilihan raya di Singapura, Korea Selatan, India dan Amerika Syarikat akan menjadi rujukan serta penambahbaikan Pilihan Raya Negeri Sabah menjadi nota kaki di kesemua 222 kerusi Parlimen?

PRU boleh diadakan tetapi angka Covid-19 meningkat mendadak. Mahukah kita menyaingi angka itu ketika PRU? Kita juga harus memahami bahawa ia melibatkan kos yang besar sehingga RM800 juta termasuk kerahan guna tenaga seluruh negara.

Prosedur operasi standard (SOP) sudah pasti perlu diperketatkan dan menjadi amalan. Sanitasi, pelitup muka, dakwat celup, sarung tangan, penjarakkan sosial dan kebersihan yang memerlukan staf serta sukarelawan yang lebih besar, kesemuanya bukan percuma.

Walaupun begitu, masing-masing sudah menyusun strategi untuk berhadapan PRU. Yang menarik adalah ia sudah berubah. Konsep koalasi parti gabungan besar menjadi keutamaan. Penjajaran tidak bersifat statik. Sejak Mac 2020, ia berubah sekelip mata.

Kini, ia bukan pertembungan antara dua gergasi gabungan besar. Pertembungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sudah ada pesaing. Dinamika politik Malaysia semasa mudah dicairkan dan bukan di bawah satu gabungan besar yang mantap, kukuh dan padu. Kini muncul PN.

Muafakat Nasional siap untuk PRU mengejut

Pelantikan

PN sudah didaftar, Muafakat Nasional (MN) akan didaftar. BN sudah lama berdaftar sebagaimana PH juga begitu sejak tahun 2018.

PN akan menjadi platform pergerakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk berhadapan PRU15. Maka, pelantikan jawatan induk sudah dilakukan termasuk Pengarah PRU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Pada masa yang sama, UMNO telah mengumumkan Datuk Tajuddin Abdul Rahman sebagai Pengarah PRU. Siapakah Pengarah PRU MN atau BN?

UMNO tidak sertai PN sejak awal berbanding Pas. Apakah hubungan UMNO-Pas berada di persimpangan tatkala pemimpinnya sudah mempunyai jawatan penting di PN? Apakah acuan yang digunakan untuk perkasakan PN dan mengukuhkan MN?

MN menjadi grand plan kedua-duanya, UMNO dan Pas selepas menang beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK). Adakah Bersatu akan cuba menggunakan jentera dan guna tenaga Pas untuk PRU akan datang bersama pasukan Mohamed Azmin serta sebahagian daripada UMNO?

PN dicadang buat PRU di peringkat Parlimen sahaja

Persoalan yang berlegar, apakah tumbangnya PH juga telah membawa kepada penghujung hubungan UMNO-Pas atau ia juga adalah strategi yang disusun rapi dalam perjuangan ‘tidak ada musuh atau lawan yang tetap tetapi hanya kepentingan’.

PRU15 seolah-olah melihat pertembungan dalaman yang bersifat intra-parti berbanding inter-parti, bukan sekadar dua gabungan besar tetapi pertembungan gabungan yang menampakkan bibit perpecahan, cuba membina kemuafakatan bersifat ‘psuedo’. Ia akan nampak ketika agihan kerusi khususnya antara Bersatu dan UMNO.

Politik faksi semakin membesar. Faksi dalam PN dan PH pasti mencabar. Apakah masing-masing akhirnya akan menggunakan logo sendiri jika gagal berkompromi kerana perkataan paling sukar dalam politik adalah ‘berkorban’. Posisi dan taktikal penting dalam krisis.

Jangan abaikan realiti politik sebenar kerana rakyat ‘memerhati’ dan tidak bermakna tidak ‘memahami’ kelincahan beradu seni politik ketika mereka sedang bergelut dengan masa depan sendiri.

Nurul Atikah Halimi ada menyatakan: “Jadilah pemimpin yang baik untuk membimbing rakyat. Bukan rakyat yang membimbing pemimpin.”

Rakyatkanlah kepimpinan.

*Dr Sivamurugan Pandian ialah Profesor di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan di Universiti Sains Malaysia

Leave a Reply