Tembus pasaran lebih 60 negara, usahawan kanta lekap ini kongsi rahsia kejayaan

Share

KUALA LUMPUR: Naluri adakalanya memainkan peranan dalam membawa kejayaan kepada seseorang individu.

Itu kisah sepasang suami isteri yang kini merupakan pengeluar kanta lekap berjaya bukan sahaja pasaran tempatan tetapi juga di luar negara.

Selvam Kanniah dan isteri, Viji Ramasamy Pillai mula meneroka pasaran kanta lekap pada pertengahan tahun 2000.

Viji ketika itu bertugas sebagai dalam bidang pemasaran minyak wangi, bertemu dengan seorang pelanggan yang bertanyakan tentang di mana mahu mendapatkan kanta lekap berjenama di Singapura.

Di situlah perjalanan mereka bermula.
Namun perniagaan ini tidak semudah yang disangka, apatah lagi kanta lekap merupakan aksesori dalam kategori perubatan.

“Cuba mengatasi cabaran di peringkat awal tidak mudah melainkan anda ada duit yang banyak dalam poket.

“Ramai yang cuba masuk dalam bidang ini tapi belum berjaya sebab memang tidak mudah, anda perlu bertindak secara bijak.

“Apa yang kami buat ialah cari rakan pengeluar, kami buat perjanjian, apa yang kami kawal ialah reka bentuk.

“Apa yang penting kena tahu banyak cabaran dalam bidang ini, perlu diatasi satu persatu.

“Penting juga untuk ada lesen, ini satu cabaran buat kami kerana lesen ini perlu untuk masuk ke pasaran negara luar.

“Ramai yang tidak tahu kanta lekap merupakan aksesori perubatan, tak boleh dijual begitu sahaja.

“Di peringkat awal kami memang tidak tahu, kami hanya tahu apabila nak eksport ke luar dan ada yang mula bertanya tentang lesen,” katanya ketika ditemu bual Datuk Seri Wong Chun Wai, Penasihat Kumpulan Star Media Group Berhad menerusi Facebook Live, pada Jumaat.

Selvam dan Viji mengasaskan Maxvue Vision Sdn Bhd yang memfokus pada pasaran eksport selepas mengukuhkan kedudukan sebagai trader dalam perniagaan tersebut.

Membawa nama negara ke pasaran luar sememangnya agak mencabar terutama di Eropah, namun status Malaysia sebagai negara Islam diakui Selvam mempunyai kelebihan bagi pasaran Asia Barat.

“Penduduk negara Asia Barat sangat kenal dengan Malaysia, mereka sangat teruja dan rasa dekat dengan kita kerana sama-sama negara Islam.

“Jadi itu satu kelebihan bagi kita malah salah satu fokus utama kita adalah pasaran Asia Barat.

“Di Eropah dan Barat, mereka sentiasa ada syak wasangka dan keraguan berkaitan kualiti, mereka lebih suka produk buatan Eropah juga tetapi kami berikan rujukan, yang kami juga ada pelanggan di Eropah.

“Satu perkara yang kita berjaya buat adalah menembusi pasaran Australia dan bekerjasama dengan Luxottica, yang merupakan jenama aksesori mata yang sangat besar dan gah.

“Mereka mempunyai banyak outlet dan produk, hampir semua jenama besar dimiliki mereka,” tambahnya.

Maxvue kini beribu pejabat di Seremban dengan pasaran menembusi lebih 60 negara termasuk United Kingdom, Jerman, Itali, Mesir, Iran, Australia dan Kanada.

“Kami percaya pada organic growth, di mana perniagaan menggembleng tenaga dan sumber yang dimiliki untuk memajukan diri.

“Selama ini, itulah cara kami berkembang. Tidak perlu terburu-buru,” ujarnya. Awani

Kerajaan Kongsi Kejayaan , Bukan Kongsi Kemiskinan – Najib

Leave a Reply