Mayat suspek larikan Nissan Navara ditemui reput

Hulu Terengganu: Mayat lelaki ditemui dalam sebuah pacuan empat roda di ladang kelapa sawit di Kampung Cherang Nibung, Ajil, jam 5 petang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daut berkata, mayat lelaki berusia 31 tahun dipercayai penagih itu ditemui penternak lembu berusia 50 tahun yang sedang mencari haiwan peliharaannya.

Katanya, ketika ditemui, mayat terbabit berada di tempat duduk pemandu dalam keadaan reput dan kering.

“Kita percaya mayat lelaki berasal dari Kampung Tok Randok, Ajil, di sini, meninggal dunia kira-kira tiga minggu lalu,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.

Katanya, polis percaya si mati adalah suspek yang diburu polis bersabit kes kecurian sebuah pacuan empat roda jenis Nissan Navara yang dilarikan dalam perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu, tiga minggu lalu.

Katanya, kenderaan milik abang ipar suspek itu dilarikan ketika lelaki terbabit membawa suspek ke IPD untuk diserahkan kepada polis berkaitan kes penyalahgunaan dadah.

Bagaimanapun, ketika lelaki terbabit berada di dalam balai, suspek yang ditinggalkan dalam kenderaan itu bertindak melarikan kenderaan terbabit.

“Kes berkenaan dibuka untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Kesiksaan kerana curi kenderaan,” katanya.

Beliau berkata, susulan penemuan mayat lelaki dan kenderaan terbabit, kes berkenaan dianggap selesai.

Mohd Adli berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. HM

Ikat, bogelkan pengawal keselamatan sebelum larikan 3 MPV

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker