Syaiful, Sharif tiga kali Duo Terbaik

Syaiful, Sharif tiga kali Duo Terbaik

Tiga gelaran Duo Terbaik dan kedudukan tempat pertama dalam carta keseluruhan diraih oleh pelawak dua beradik, Syaiful dan Sharif menerusi program realiti, Famili Duo musim ketiga (FD3) tidak dianggap sebagai tiket untuk mendabik dada.

Sebaliknya, pasangan adik-beradik berasal dari Kudat, Sabah ini mahu terus konsisten memberikan yang terbaik pada setiap minggu supaya apa sahaja konsep persembahan dapat diterima, sekali gus mampu memikat hati juri tetap, Ajai dan Mas Idayu.



Biarpun Sharif atau nama sebenar, Sharif Kadir Doli Sharif mengakui pernah timbul perasaan terlebih yakin, mereka segera melupakannya kerana dikhuatiri menjejaskan persembahan.

Justeru, katanya, mereka tetap berusaha memerah idea dan keringat pada setiap minggu semata-mata mahu memberikan persembahan terbaik dalam program realiti terbitan TV3 itu.

“Sebenarnya, kami akan berikan persembahan 100 peratus supaya penonton terhibur, itu adalah perkara yang akan kami lakukan.

“Memang rasa yakin ada sebab sudah buat persiapan dari segi lagu dan sebagainya. Saya akui situasi terlebih yakin pernah ada sebab merasakan apa sahaja yang kami buat orang akan terhibur.



“Tapi, persembahan akan ‘jahanam’ setiap kali kami rasa begitu. Jadi, setiap persembahan kami akan pastikan penonton terhibur dan biarkan juri menilai,” katanya

ditemui selepas tamat konsert FD3 minggu keenam di Studio TV3, Glenmarie, malam kelmarin.

Biarpun ada yang beranggapan mereka sudah layak mara ke peringkat akhir dengan jumlah markah dan kedudukan tempat pertama dalam carta keseluruhan ketika ini, Sharif bagaimanapun enggan terlalu selesa, sebaliknya mahu terus berusaha pada konsert separuh akhir, Ahad depan.

“Untuk minggu separuh akhir kami tak mahu buat sambil lewa. Kami tetap mahu berikan yang terbaik dan biar orang nilai bahawa kami memang layak masuk ke final.



“Bagaimanapun, saya sematkan dalam hati untuk tidak mensasarkan kemenangan, tapi mahu orang bercakap mengenai penangan FD3 ini. Kami mahu FD3 ini menjadi musim yang akan terus diingati.

“Kami memang bukan asalnya penyanyi, tapi kami tetap berusaha untuk tunjuk kepada orang ramai yang kami berbakat dan boleh menyanyi.

“Dalam menyanyi, kami juga mahu menghiburkan orang ramai. Senang kata, kami mahu jadi seperti Senario.

“Jadi, kalau ada rezeki selepas FD3 ini, kami akan cuba keluarkan lagu,” katanya.



Menerusi konsert FD3 minggu keenam, Syaiful dan Sharif terus menyinar apabila meraih gelaran Duo Terbaik mingguan buat kali ketiga dengan membuktikan idea dan kreativiti mereka berada dalam kelas tersendiri.

Duo itu berjaya membawa lagu Bunyi Gitar nyanyian asal Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Direnjis-Renjis oleh Allahyarham R Ismail dengan baik, diserikan sketsa mencuit hati.

Atas kejayaan itu, mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

Ajai dan Mas Idayu berpuas hati dengan persembahan Syaiful dan Sharif biarpun pada awalnya sempat bergurau dengan mengatakan aksi pasangan adik-beradik itu kurang mantap.



Antara momen mencuit hati apabila Syaiful dan Sharif menampilkan pelakon tambahan yang seiras vokalis kumpulan Slam, Zamani.

Malah, konsep tarian dan sketsa yang diketengahkan menggamatkan suasana studio dengan sorakan dan tepukan penonton.

Sebelum ini, Syaiful dan Sharif yang diumum duo keenam FD3 pernah meraih gelaran Duo Terbaik pada konsert minggu pertama dan kelima.

Syaiful dan Sharif mengumpul 7.13 markah meninggalkan lima pasangan lain iaitu Tom dan Fuad Rahman yang beroleh 62.9 markah; Adira Suhaimi dan Emma Suhaimi (62.8); Haqiem Rusli dan Ariff Bahran (47.7); Shila Amzah dan Syahir Amzah (45.9) serta Ryan Bakery dan Adam Bakery (45.4).



Atas kemenangan itu, Syaiful dan Sharif memilih tema Hip Hop/Dance untuk dipersembahkan setiap peserta pada konsert separuh akhir, Ahad depan.

Mengulas konsep ditampilkan pada konsert minggu keenam bertemakan Retro, Sharif berkata, mereka menampilkan sekumpulan pemuda yang mengetengahkan kandungan nostalgia iaitu sekitar era 1970-an dengan sering berpakaian dan berdialog seperti masyarakat pada ketika itu.

“Mereka sudah tular di TikTok dan memang ada kumpulan sendiri. Mereka sering ketengahkan dan berpakaian seperti orang zaman 1970-an atau seumpamanya.

“Bahkan, kereta yang dipandu juga adalah kereta lama. Mereka menghidupkan suasana era 1970-an dalam TikTok.

“Disebabkan tema minggu keenam adalah Retro, jadi kami rasa mereka sesuai untuk dibawa bersama. Apa yang membuatkan kami lebih tertarik apabila kandungan yang diketengahkan dalam sosial media diterima ramai,” katanya. BH

Syaiful, Sharif tiga kali Duo Terbaik

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Batalkan konsert Coldplay? Tiket tak beli bolehlah

‘Tangan tak dapat angkat gelas, kaki lemah, muka herot’ – Esma Daniel

Rusdi Ramli, Sharon berpisah?

Nak maki sampai bila – Ali Puteh

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker