ABPBH 33 diberi ‘Lampu Hijau’ kerana patuh SOP

Gitaris lagenda, Man Keedal muncul dengan persembahan bersama Naim Daniel. - NSTP/Asyraf Hamzah
Gitaris lagenda, Man Keedal muncul dengan persembahan bersama Naim Daniel. – NSTP/Asyraf Hamzah

 

KUALA LUMPUR: Tidak berkompromi soal keselamatan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat boleh menjamin penganjur majlis termasuk acara anugerah dan hiburan, mengendalikan program dirancang dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Usaha BH dan TV3 menganjurkan Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 yang bakal disiarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil, malam ini, dengan penerapan norma baharu, wajar diterima sebagai suatu inisiatif menggalakkan pembangunan ekonomi.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Shiraz Projects, Shirazdeen Karim mengaku penganjuran ABPBH 33 tidak memberi sebarang masalah atau impak buruk dengan SOP ditetapkan.

“Orang selalu ada tanggapan negatif terhadap bidang muzik dan hiburan. Jika begitu, lebih baik haramkan hiburan.

“Kenapa restoran dan syarikat penerbangan boleh beroperasi tetapi apabila membabitkan hiburan, dipertikaikan.

“Siapa yang hendak sara hidup artis, kru produksi dan pembekal? Kalau mereka hendak terus kecam, suruhlah mereka salurkan wang dan terus kecam,” katanya kepada BH Online.

 

Hos ABPBH 33, Datuk AC Mizal dan Nabila Huda. - NSTP/Asyraf Hamzah
Hos ABPBH 33, Datuk AC Mizal dan Nabila Huda. – NSTP/Asyraf Hamzah

 

Shirazdeen berkata, penganjur mana-mana acara mengambil risiko dan memastikan keselamatan semua pihak tidak dikompromi, termasuklah ABPBH 33.

Sementara itu, pengendali acara, Perunding Kanan Runaway Success, Zurina Abu Bakar, berkata penghayatan norma baharu tidak menolak mana-mana pihak menganjurkan acara asalkan mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa.

“Tidak kira besar atau kecil, asalkan kita patuh SOP, semua itu tidak menjadi masalah.

“Vaksin untuk COVID-19 belum ditemui. Takkan setahun lagi kita hendak menunggu untuk mengadakan acara?

“Kita tahu, dalam tahun ini, ekonomi kita terjejas. Jadi, bagaimana kita hendak rangsang semula ekonomi tanpa adanya acara-acara seperti ABPBH 33,” katanya.

Zurina berkata, asalkan ABPBH 33 dianjurkan mengikut SOP, semua pihak tidak perlu bimbang.

“Dahulu, orang semua takut dengan sindrom kurang daya tahan penyakit HIV. Tapi sekarang, apabila sudah ada ubat, penyakit itu sudah menjadi sebahagian daripada hidup kita.

“Sama juga dengan COVID-19, hidup kita dalam norma baharu sudah menjadi sebahagian daripadanya,” katanya.

 

Kumpulan Dolla kali pertama muncul di pentas berprestij seperti ABPBH 33. - NSTP/Asyraf Hamzah
Kumpulan Dolla kali pertama muncul di pentas berprestij seperti ABPBH 33. – NSTP/Asyraf Hamzah

 

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, penganjuran ABPBH 33 termasuk di dalam senarai aktiviti dibenarkan dalam SOP PKPB.

Sehubungan itu, Ismail dilaporkan berkata, tidak timbul isu acara itu perlu dibatalkan.

Sementara itu, berpandukan SOP ketat, sesi latihan dan raptai penuh malam kemuncak ABPBH 33, semalam, lancar.

Raptai membabitkan segmen persembahan artis serta persiapan teknikal, pengcahayaan dan susun atur pemuzik yang dikendalikan mengikut garis panduan MKN dan Kementerian Kesihatan.

Penerbit Eksekutif ABPBH 33, Nurhul Huda Khalid berkata, sesi latihan dan raptai penuh dilaksanakan dengan baik biarpun semua petugas perlu mematuhi SOP ketat.

“Kami lebih memberikan perhatian kepada sesi latihan bersama artis dan pemuzik kerana masa yang diberi agak terhad berikutan Lazada 11.11 Super Show di lokasi sama, Rabu lalu.

“Semalam, kami diberi kesempatan mengambil alih lokasi, jadi terpaksa melakukan latihan dari pagi sehingga raptai penuh sebelah malam,” katanya.

Walaupun terpaksa menempuh cabaran, Nurhul Huda percaya, pihaknya dapat menyajikan edisi terbaru ABPBH yang dikenang penonton.

“Tidak menafikan, cabaran besar dalam merealisasikan anugerah berprestij ini. ABPBH 33 adalah satu-satunya anugerah yang tetap diadakan dalam pandemik COVID-19.

“Saya mahu menegaskan, kami mematuhi panduan yang diberikan MKN dan Kementerian Kesihatan.

“Saya tahu orang hanya nampak anugerah dari sudut populariti, tetapi tidak tahu di sebalik penerbitan acara ini.

“Sebenarnya, kami berkongsi rezeki dengan ramai yang tidak bekerja ketika pandemik COVID-19 menular.

“Antara mereka adalah pemuzik, penari, pengawal keselamatan, pekerja penyelenggara dan pembersihan serta ramai lagi.

“Dengan adanya anugerah ini, kami membantu ramai yang hilang punca rezeki. Jadi, janganlah terlalu mengecam, kami pun mencari rezeki kerana inilah sumber pendapatan,” katanya.

ABPBH 33 dibawakan syarikat elektronik multinasional China, Xiaomi sebagai penaja utama, akan disiarkan dari Axiata Arena, Bukit Jalil, jam 9 malam ini.

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker