‘Polis kesan majikan bantu pekerja larikan diri dari PKPD’

Share

Seramai 400 pekerja di zon perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi dibawa dengan bas oleh majikan mereka untuk melarikan diri.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata, polis telah diarahkan untuk mengambil tindakan terhadap pekerja berkenaan dan majikan yang membantu mereka.

“Dimaklumkan bahawa majikan yang bersubahat dengan pekerja ini memberi bas dan sebagainya untuk dibawa keluar

“Jadi lebih mudah kepada PDRM kerana kita pun kesan melalui majikan.

“Kita dah putuskan tindakan bukan sahaja boleh diambil atas pekerja-pekerja yang lari tetapi majikan yang bersubahat pun kita mesti ambil tindakan

“Kerana mereka menyusahkan dari segi penguatkuasaan malah boleh membahayakan nyawa orang lain, ”kata Ismail.

PKPD dilaksanakan di kawasan itu selama 14 hari bermula hari ini setelah berlaku peningkatan kes Covid-19.

Terdahulu Bernama melaporkan lebih 400 penduduk di kawasan itu tidak dapat dikesan pada hari pertama PKPD dilaksanakan.

 

Pelaksanaan PKPD ini melibatkan sebanyak 88 unit rumah kedai, 284 premis dan seramai 800 orang penduduk.

Pada 10 Nov lalu, sebanyak 40 kes Covid-19 positif dilaporkan di kawasan berkenaan.

Pelanjutan PKPD di tiga lokaliti di Kudat

Sementara itu, Ismail mengumumkan pelanjutan PKPD tiga lokaliti di Kudat, Sabah membabitkan Kampung Pengaraban, Kampung Tanjung Kapor dan Kampung Landung Ayung.

“Sehingga 11 November 2020, KKM telah melakukan sebanyak 14,096 saringan kepada penduduk di kawasan ini dan masih terdapat kes aktif di ketiga-tiga lokaliti ini iaitu Kg Pengaraban (21 kes aktif), Kg Tanjung Kapor (10) dan Kg Landung Ayang (54).

“Pada masa yang sama, terdapat sejumlah besar sampel ujian saringan yang masih menunggu keputusan,” katanya.

Justeru katanya, atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju supaya PKPD di kawasan itu dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi bermula esok sehingga 26 Nov.

Leave a Reply