Vaksin Covid-19 sudah ditemui?

PARIS – Satu vaksin yang dibangunkan bersama firma farmaseutikal Pfizer dan BioNTech menunjukkan kesan keberkesanan 90 peratus dalam mencegah jangkitan Covid-19 dalam ujian Fasa Ketiga, menurut pengumuman kedua-dua syarikat itu hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika kes jangkitan koronavirus kian meningkat di seluruh dunia yang mengakibatkan berjuta-juta orang terpaksa menjalani kehidupan dalam perintah berkurung, menyebabkan banyak ekonomi terjejas.

Pengumuman itu turut menyebabkan pasaran saham Eropah dan harga minyak meningkat.

Menurut laporan awal, pesakit mendapat perlindungan selepas tujuh hari menerima dos vaksin kedua, iaitu selepas 28 hari diberikan dos pertama.

Kedua-dua syarikat menyatakan mereka dijangka membekalkan sehingga 50 juta dos vaksin ke pasaran global pada 2020 dan sehingga 1.3 bilion dos pada tahun depan.

NEW YORK, NY – JULY 22: Pedestrians wearing protective masks walk past Pfizer Inc. headquarters on July 22, 2020 in New York City. Pfizer and German biotechnology firm BioNTech have agreed to supply the U.S. government with 100 million doses of coronavirus vaccine under a $1.95 billion deal. Jeenah Moon/Getty Images/AFP

“Set ujian pertama daripada ujian percubaan vaksin Fasa Ketiga Covid-19 memberi bukti awal berhubung kemampuan vaksin kami mencegah Covid-19.

“Kami berada pada satu langkah signifikan untuk membekalkan kepada orang ramai di seluruh dunia satu penemuan untuk membantu menamatkan krisis kesihatan global,” kata Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Albert Bourla dalam satu kenyataan.

Ujian klinikal Fasa Ketiga iaitu tahap akhir untuk satu vaksin baharu, BNT162b2 bermula pada lewat Julai lalu. Ia melibatkan seramai 43,538 peserta setakat ini dengan 90 peratus daripadanya sudah menerima dos kedua vaksin semalam.

Pfizer menyatakan pihaknya masih mengumpul data keselamatan dua bulan susulan dos terakhir. Ia adalah satu syarat yang ditetapkan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat sebelum layak menerima Kebenaran Penggunaan Kecemasan, dijangka pada minggu ketiga bulan ini.

“Kami akan berkongsi tambahan data keselamatan dan kemujaraban yang diperoleh daripada beribu-ribu peserta dalam minggu-minggu akan datang,” kata Bourla. – AFP

Covid-19: KKM timbang dasar mandatori vaksin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker