[VIDEO] Haruan Makan Anak, 41 Tuduhan Rogol, Amang Seksual Terhadap Anak Sendiri

Ampang: Ahli perniagaan mengaku tidak bersalah atas 41 pertuduhan merogol, melakukan amang seksual dan persetubuhan luar tabii terhadap anak kandungnya di Mahkamah Sesyen Ampang, di sini, hari ini.

Tertuduh yang juga pengusaha sebuah syarikat perkhidmatan pembersihan berusia 42 tahun membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Hazani Hamzah.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu dengan anak perempuan kandungnya berusia 15 tahun 11 bulan yang mana perhubungan antara kedua-duanya tidak dibenarkan oleh hukum agama yang terpakai untuk membolehkan perkahwinan antara mereka.

Mengikut pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah rumah dan kawasan hutan di Bukit Antarabangsa, di sini, antara Januari hingga Oktober lalu.



Bagi semua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan, Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibacakan bersama Seksyen 16 (1) akta sama.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam membuat rayuan supaya dia dibenarkan diikat jamin dengan alasan perlu menguruskan syarikat serta menjaga kebajikan pekerjanya selain perlu menjaga seorang adik dan tiga kakaknya yang menghidap kanser tahap ketiga.

Tertuduh juga memberi alasan perlu menjaga isteri serta anak-anaknya ketika penularan Covid-19 ketika ini.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, S Sangitaa tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh dengan alasan bimbang lelaki berkenaan akan melarikan diri hingga tidak dapat dikesan selain menganggu mangsa yang juga anak kandungnya.



“Dalam kes ini, hubungan antara OKT (orang kena tuduh) dan mangsa adalah ayah dan anak dan dikhuatiri sekiranya tertuduh diberi jamin, dia akan melarikan diri sehingga tidak dapat dikesan selain mengganggu mangsa yang juga anak kandungnya.

“Bagi seseorang yang bertindak sebagai seorang penjaga kepada anak kandungnya, OKT bertindak dengan cara menjijikkan sehingga sanggup melakukan kesalahan seksual seperti mana dinyatakan dalam pertuduhan-pertuduhan tadi.

“Atas dasar itu, saya membantah sebarang permohonan jaminan terhadap tertuduh,” katanya.

Nor Hazani kemudian menetapkan 17 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.



Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang remaja perempuan bertindak melarikan diri dari rumahnya di Bukit Antarabangsa, di sini, pada 1 November lalu akibat tertekan dirogol bapa kandungnya secara berterusan sejak awal tahun ini.

Perbuatan terkutuk itu terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian itu kepada pihak polis yang menemuinya bersendirian di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur ketika mahu pulang ke rumah ibunya di Kuala Nerang, Kedah, hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak dipetik berkata, siasatan awal mendapati mangsa dirogol secara berterusan setiap minggu kecuali ketika mangsa datang bulan tanpa pengetahuan sesiapa.-HM

 



Suspek Ahli perniagaan di bawa ke Mahkamah Sesyen Ampang mengaku tidak bersalah atas 41 pertuduhan merogol, amang seksual dan persetubuhan luar tabiie terhadap anak kandungnya di. FOTO ASWADI ALIAS
Suspek Ahli perniagaan di bawa ke Mahkamah Sesyen Ampang mengaku tidak bersalah atas 41 pertuduhan merogol, amang seksual dan persetubuhan luar tabiie terhadap anak kandungnya di. FOTO ASWADI ALIASVideo:
[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=jMvvIqBX3dQ[/embedyt]https://mykmu.net/2020/11/06/lari-rumah-tertekan-dirogol-bapa/https://mykmu.net/2020/06/20/bapa-anak-dua-didakwa-lakukan-amang-seksual-fizikal/

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker