Belanjawan 2021: Pemuda UMNO minta PM pertimbangkan cadangan BN

Barisan Nasional (BN) menunjukkan kesungguhan parti itu memperjuangkan suara hati rakyat yang benar-benar mengharapkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menimbang semula beberapa keputusan dalam Belanjawan 2021.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, antara yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan PN ialah mengkaji semula untuk membenarkan pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara one-off.

Kata beliau, pengeluaran itu perlu dengan kadar maksimum RM10,000 bukan secara beransur-ansur sebanyak RM500 dan terhad kepada mereka yang hilang pekerjaan sahaja.

Bahkan, katanya, wang itu dibenarkan dikeluarkan oleh semua yang terkesan termasuk golongan M40 secara pukal.



“Kita percaya, cadangan ini tidak akan menjejaskan belanjawan negara, malah tiga cadangan telah dibuat untuk menampung kekurangan dana KWSP.

“Pemuda UMNO mengucapkan terima kasih kepada pembahas utama Belanjawan 2021 Datuk Seri Najib Razak yang mewakili Ahli-Ahli Parlimen BN di Parlimen hari ini.

“Perbahasan yang disertakan dengan beberapa cadangan ini menunjukkan kita bersungguh memperjuangkan suara hati rakyat yang benar-benar mengharapkan agar kerajaan menimbang semula beberapa keputusan Belanjawan 2021,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Mengenai moratorium, katanya, apa yang dibahaskan oleh Ahli Parlimen Pekan itu bertepatan sekali, kerana yang diminta ialah melanjutkan selama enam bulan lagi secara pukal kepada semua peminjam di bank termasuk Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Tekun.



Ini, kata Dr. Asyraf, sama sekali tidak menjejaskan bank-bank yang masih boleh menjana keuntungan.

“Menariknya dalam hujah Najib, kalau PKPB boleh dilanjutkan, takkan moratorium tidak boleh dilanjutkan.

“Begitu juga BN meminta yuran pengajian universiti dikurangkan dan pelan data internet untuk pelajar universiti awam dan swasta diberikan percuma.

“Termasukkan cadangan dan saranan agar bantuan Prihatin dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM2,000, manakala untuk golongan bujang juga dinaikkan sebagaimana BR1M dahulu iaitu daripada RM350 kepada RM600,” katanya.



Beliau berkata, tiada keperluan untuk peruntukan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) ketika ini, sebaliknya peruntukan RM81 juta itu digunakan untuk tujuan penambahan peralatan sanitizer dan penutup muka.

Bahkan, menambahkan peruntukan Rancangan Makanan Tambahan kepada murid sekolah lagi baik kerana ramai daripada mereka terkesan dengan kegawatan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Banyak lagi cadangan yang baik, praktikal dan relevan dicadangkan oleh Najib selaku Pengerusi BNBBC yang diharapkan dapat pertimbangan serius kerajaan hari ini,” katanya. MG

Mahathir minta UMNO dibubarkan – Zahid



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker