ECRL di Kelantan babit laluan baru di 4 jajahan

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan Azami Mohd Nor berkata laluan baru itu akan melibatkan pengambilan 1,561 lot tanah.

KOTA BHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan hari ini diberitahu terdapat perubahan laluan untuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang melibatkan 4 jajahan iaitu Kota Bharu, Machang, Bachok dan Pasir Puteh.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan Azami Mohd Nor berkata laluan baru itu akan melibatkan pengambilan 1,561 lot tanah.

Menjawab soalan Abdul Azziz Kadir (PAS-Jelawat), beliau juga berkata kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Koordinator Kerja bagi memilih 40% kontraktor tempatan untuk pelaksanaan ECRL di Kelantan.

“Skop dan bidang kuasa Jawatankuasa Koordinator Kerja Projek ECRL Kelantan termasuk menyelaras agihan kontrak kerja ECRL untuk kuota 40% kontraktor tempatan,” katanya.



Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Nik Abdullah berkata kerajaan negeri akan tetap mengutamakan pembinaan rumah untuk generasi ke-2 peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

Kerajaan negeri bersetuju untuk membina lebih 1,000 rumah di Bandar Baharu Chiku dan Datuk Bentara di Gua Musang, katanya ketika menjawab soalan Amran Ariffin (BN-Paloh).

Ketika menjawab soalan Mohd Rodzi Jaafar (PAS-Gaal), Mohd Amar berkata kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk membangunkan bandar-bandar yang bersempadan dengan negara jiran dan negeri lain seperti Rantau Panjang, Pasir Puteh, Gua Musang dan Jeli bagi merancakkan ekonomi setempat.

“Lojing kita dah luluskan untuk jadi Bandar Baharu Lojing yang bakal menjadi tarikan baru seperti Cameron Highlands serta di Pasir Puteh akan dijadikan zon nasi ulam bagi menarik pelancong,” katanya.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker