Belanjawan tiada ‘wow’, Sabah patut dapat lebih banyak
KOTA KINABALU: Pakar ekonomi berpendapat Sabah sepatutnya mendapat peruntukan lebih banyak daripada RM5.1 bilion diumumkan kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat hari ini.
Firdausi Suffian dari UiTM Sabah berkata, selepas sokongan rakyat kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri lalu, Sabah sepatutnya mendapat lebih banyak daripada jumlah diumumkan.
“Saya tidak rasa bajet kali ini ada unsur ‘wow’ terutama kepada Sabah kerana saya menjangkakan sekurang-kurangnya ada 5.5 bilion untuk negeri ini.
“Ya, mungkin kurang RM100 juta daripada jangkaan saya tetapi jumlah itu agak besar,” katanya kepada FMT.
Belanjawan dan undi tak percaya, apa persediaan?
Dalam belanjawan dibentangkan hari ini, Sabah diperuntukkan RM5.1 bilion bagi pembangunan infrastruktur selain RM3.8 bilion untuk kesinambungan projek Pan Borneo serta pakej lain.
Firdausi turut mempersoalkan peruntukan RM17 bilion bagi menangani Covid-19 di negara ini kerana ia tidak dijelaskan lebih terperinci khususnya untuk Sabah.
“Mengikut data saya, Sabah ada 33 hospital, 333 klinik kerajaan, 4,160 dotor dan kira-kira 12,000 jururawat.
“Daripada RM17 bilion itu, berapa yang diperuntukkan untuk Sabah memandangkan kita kekurangan dari segi infrastruktur terutama di pedalaman dan kalau kita lihat kebanyak zon merah adalah di pantai timur negeri ini, jadi sejauh mana kemampuan fasiliti di sana untuk respons juga menjadi isu.
“Sepatutnya ada bajet spesifik untuk Sabah berkaitan Covid-19, mungkin juga pengumuman RM17 bilion ini untuk berlaku adil kepada negeri lain tetapi kita juga harus melihat kepada tahap wabak itu di negeri ini yang sangat teruk serta membimbangkan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menyambut baik beberapa langkah kerajaan dalam belanjawan itu yang memberikan bantuan terus kepada golongan B40 dan M40.
“Ada bantuan untuk B40 dan M40, akaun 1 (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) boleh keluarkan, begitu juga akaun 2, itu memang harus dibelanjakan dan ia sesuatu yang baik.
“Pengeluaran akaun 1 juga sesuatu yang baik kerana walaupun ia adalah simpanan masa depan, tetapi bagi saya masa depan adalah sekarang kerana rakyat sangat memerlukan duit dalam keadaan sekarang, mereka masih boleh menyimpannya dan mengeluarkan duit itu kemudian,” katanya.
You must be logged in to post a comment.