Ummah bersatu manifestasi kecintaan terhadap Rasulullah
Saban tahun, kita akan melalui Rabiulawal, iaitu antara bulan cukup bermakna kepada umat Islam. Menurut pandangan masyhur, Rasulullah SAW dilahirkan pada 12 Rabiulawal Tahun Gajah bersamaan 571 Masihi.
Bagaimanapun ada perbezaan pandangan dalam kalangan sejarawan berhubung tarikh tepat kelahiran Baginda kerana ada juga yang menyatakan 2,8,9 dan 10 hari bulan.
Istimewanya juga di negara ini, 12 Rabiulawal juga cuti umum sebagai tanda meraikan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW.
Pelbagai cara diraikan masyarakat sebagai tanda kesyukuran memperingati hari kelahiran insan agung ini. Sebelum ini, antara caranya dengan berarak membawa sepanduk sambil berselawat di sekeliling kampung dan kota, tetapi COVID-19 membataskan perkara itu.
Selain itu, umat Islam juga mengadakan kuliah agama khas berhubung maulid Rasulullah SAW, pembacaan kitab Syama’il Muhammadiah dan sirah Baginda.
Hakikatnya, masyarakat bebas meraikan dan menyambutnya selagi berada dalam batas agama dan perkara diharuskan serta mempunyai manfaat kepada umat Islam.
China didakwa paksa wanita Uighur ambil pil perancang untuk kawal populasi (Video)
Namun, tidak kurang juga ada segelintir yang tidak bersetuju mengenai sambutan Maulidur Rasul dengan hujah tersendiri walaupun pada hakikatnya mereka juga turut tidak bekerja pada hari berkenaan.
Bagaimanapun, bulan yang mulia ini seharusnya kita gunakan untuk menebarkan perasaan kedamaian dan kasih sayang antara umat Islam.
Justeru, tinggalkan perkara yang boleh menimbulkan perbalahan, lebih-lebih perkara bersifat khilafiah yang dibenarkan berbeza pandangan. Hormatilah golongan majoriti yang menerima pandangan keharusan mengenai sambutan Maulidur Rasul.
Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyatakan ‘jangan diingkari perkara diperselisihkan, sebaliknya ingkarilah perkara yang sudah disepakati ke atasnya.’
Perkara yang diperselisihkan seperti sambutan Maulidur Rasul tidak wajar menjadi medan perbalahan, sedangkan menjaga ukhuwah atau persaudaraan antara umat Islam adalah kewajipan.
Apatah lagi perkara disepakati hukum haramnya seperti rasuah, judi, meninggalkan kewajipan agama dan penipuan dalam perniagaan sepatutnya digembleng tenaga untuk dicegah.
Bagi yang berpandangan Maulidur Rasul itu bidaah yang perlu ditinggalkan, memadai mereka berpegang untuk diri sahaja tanpa membabitkan masyarakat awam.
Saya teringat hadis Rasulullah SAW berhubung membaca al-Quran: Bacalah al-Quran selama menjadikan hati kalian bersatu padu, namun jika kalian berselisih, maka tinggalkanlah.
Digambarkan dalam hadis ini, perkara yang menjadi kefarduan seperti membaca al-Quran pun perlu ditinggalkan sekiranya ia boleh menyebabkan perbalahan, apatah lagi perkara yang sememangnya khilafiah dalam masyarakat. Hal ini menunjukkan keutamaan perdamaian dan penyatuan ummah.
Trend tahun ini pula, dapat dilihat sehari dua ini, isu lambang capal yang dibangkitkan dan diperolok-olokkan dalam media sosial sehingga menimbulkan perbalahan dalam kalangan masyarakat.
Tidak dinafikan terdapat pro dan kontra berhubung isu yang dibangkitkan. Cuma perlu kita renungkan, andai sekiranya Rasulullah SAW bersama kita, apakah Baginda akan tersenyum melihat perbalahan yang wujud dalam kalangan umat Islam sehingga ditertawakan musuh Islam sebenarnya?
Di manakah adab kita dengan Baginda ketika sesetengah kelompok meyakini lambang capal berkenaan ialah capal milik Baginda berdasarkan hujah di sisi mereka sedangkan kita memperlekehkan dan memperolok-olokkan mereka. Bukankah yang diperolok-olok itu juga membabitkan Baginda?
Namun, tidak bermakna mereka yang mempercayainya boleh berbuat dengan sewenang-wenangnya memperdagangkan lambang berkenaan dengan nilai tidak munasabah dengan mendakwa pelbagai keberkatan diperoleh.
Memadailah kita berpada-pada. Dalam hal ini penting peranan pihak berwajib mempraktikkan kaedah fiqh yang menyatakan ‘apabila terlalu sempit sesuatu perkara perlu diluaskan, apabila terlalu luas, perlu disempitkan.’
Pendek kata isu khilafiah seperti ini perlu ditangani dengan bijak, beradab tanpa mengguris hati saudara sesama Islam yang mempunyai pandangan berbeza dengan kita.
Cukuplah masyarakat kita banyak berbalah dalam pelbagai hal. Bersempena bulan kelahiran Rasulullah SAW, roh dan manhaj perjuangan Baginda perlu dijadikan landasan perpaduan dan kedamaian kepada umat Islam sehingga boleh membuatkan mereka yang belum Islam tertarik dengan keindahan Islam.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
You must be logged in to post a comment.