Penumpang ETS dari Butterworth ke KL Sentral digesa buat saringan Covid-19

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyeru semua penumpang tren elektrik (ETS) No 9173 membuat saringan kesihatan di hospital berdekatan jika terdapat gejala berkaitan Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamarulzaman Zainal berkata ini kerana salah seorang mangsa wabak itu menaiki tren tersebut dari Stesen Butterworth ke Stesen Kuala Lumpur Sentral pada 7 Mac lepas.

“Warganegara Malaysia berusia 70 tahun itu merupakan mangsa ke-11 yang diumumkan meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Kuala Lumpur, kelmarin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamarulzaman berkata pihaknya menghentikan serta-merta perkhidmatan tren terbabit dan kerja-kerja disinfeksi sepenuhnya dilakukan ke atas tren tersebut serta semua tren ETS lain, bagi keselamatan para penumpang dan kakitangan.



“Semua petugas syarikat yang berada di dalam tren serta stesen-stesen terlibat juga diarahkan untuk membuat ujian saringan kesihatan,” katanya.

KTMB akan terus memantau pengoperasian tren-trennya dan sentiasa melaporkan perkembangan semasa tersebut kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Orang ramai disaran untuk mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman rasmi media sosial di Facebook (KTM Berhad), Twitter (@ktm_berhad), portal rasminya di www.ktmb.com.my atau menghubungi talian pusat panggilan di 03-22671200 bagi sebarang perkembangan terkini.

FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker