Usaha murni yang disalah erti

Share
Agensi

New Delhi: Bukannya mahu berterima kasih, sebaliknya seorang pemilik kedai makan di India membuat laporan polis terhadap seorang YouTuber yang membantu perniagaannya sehingga dikenali ramai.

BBC News melaporkan Kanta Prasad bertindak sebegitu kerana merasakan Youtuber berkenaan, Gaurav Wasan menyalahgunakan wang diterima dengannya selepas berkongsi kisah Prasad di media sosial.

Bagaimanapun, Wasan menyangkal tuduhan itu dengan menyatakan niatnya adalah untuk membantu Prasad kerana simpati melihat peniaga itu yang kurang menerima kunjungan pelanggan ke kedai makannya berikutan Covid-19.

Polis memaklumkan menerima laporan daripada Prasad yang mendakwa Wasan sengaja meletakkan nombor akaun bank miliknya untuk memperoleh sebahagian besar wang sumbangan.

Menurut laporan Indian Express, Prasad mengakui hanya menerima kira-kira 200,000 rupee (kira-kira RM11,146) dan menyatakan patut menerima lebih banyak daripada jumlah itu.

Namun, Wasan mendakwa sudah menyerahkan semua wang sumbangan yang diterimanya kepada Prasad.

“Tuduhannya tidak benar dan membuatkan orang ramai melemparkan fitnah terhadap saya.

“Orang ramai mula menyalurkan sumbangan sejak 7 Oktober lalu dan keesokan harinya, saya meminta ia dihentikan.

“Dia tidak meminta saya meletakkan nombor akaunnya. Jika ada, pasti saya akan melakukannya,” katanya ketika memberi penjelasan di saluran YouTube miliknya.

Perkongsian Wasan mengenai Prasad bukan hanya menarik perhatian orang ramai, malah selebriti yang turut sama menghulurkan sumbangan .

Malah, kedai makan milik Prasad dan isterinya, Badami Devi itu juga mula dikunjungi penduduk berhampiran sejak kisahnya tular di media sosial.

Selain itu, kedai makan Prasad yang diberi nama Baba Kha Dhaba turut dimasukkan ke dalam platform penghantaran terkemuka di India iaitu Zomato.

Rata-rata warganet memuji Wasan kerana berusaha membantu Prasad dengan berkongsi kisahnya hingga diketahui ramai.-HM

Leave a Reply