Penunjuk perasaan anti-Trump bertempur dengan Polis
PORTLAND: Ratusan polis dan penunjuk perasaan sayap kiri terperangkap di dalam keadaan tegang di pusat bandar Portland, semalam selepas kumpulan anti-Trump memecah tingkap kedai sehari selepas pilihan raya, sekali gus mendorong Gabenor negara itu mengaktifkan Pengawal Nasional.
Pejabat Sheriff Multnomah mengisytiharkan rusuhan dan menangkap sekurang-kurangnya sembilan orang dengan alasan ‘keganasan meluas’ di kawasan pusat bandar dan berulang kali memberi amaran bahawa pihaknya boleh menggunakan bom dan gas pemedih mata.
Polis bersenjata turut ditempatkan di kawasan itu tetapi tidak ada pertempuran, berikutan sebelum ini perhimpunan dilakukan secara damai di taman yang dianjurkan oleh gabungan kumpulan anti-kapitalis dan sayap kiri yang memaparkan ceramah dan muzik.
“Perhimpunan besar-besaran di pusat bandar Portland tetap diisytiharkan sebagai rusuhan. Tinggalkan kawasan itu sekarang,” menurut ciapan di Twitter oleh pejabat sheriff yang mendakwa sebelum itu, pegawainya turut dibaling objek seperti botol kaca.
“Demi kepentingan keselamatan awam, Gabenor Kate Brown, di bawah nasihat Komando Bersatu, telah mengaktifkan penggunaan Pengawal Nasional Oregon untuk membantu penguatkuasaan undang-undang tempatan,” katanya.
Portland menjadi tempat pertempuran selama berbulan-bulan antara polis dan penunjuk perasaan yang marah dengan pembunuhan berulang warga Amerika kulit Hitam oleh pegawai penguat kuasa di seluruh negara.
Penunjuk perasaan yang berkumpul di tepi sungai Portland bersumpah untuk ‘melindungi keputusan’ pilihan raya Selasa lalu dan membuat sepanduk bertulis ‘Hitung Setiap Suara’ dan ‘Undi Telah Selesai. Perjuangan Terus Berlangsung’.
“Kami mahu Trump keluar pejabat, itulah fokus utama,” kata seorang pemimpin tunjuk perasaan kepada orang ramai, dengan sorakan.
Namun, beberapa penunjuk perasaan secara terbuka membawa senjata api termasuk senapang dan satu sepanduk anti-perkauman dan anti-imperialisme dengan slogan ‘Kami Tidak Mahu Biden. Kami Ingin Membalas Dendam’. – AFP
You must be logged in to post a comment.