Jamal kurang setuju dengan TMJ

Share

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail menjelaskan tidak salah untuk kelab bola sepak menerima suntikan dana daripada kerajaan negeri ketika masih dalam proses awal peralihan kepada penswastaan.

Justeru, beliau kurang bersetuju dengan kenyataan pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendakwa bahawa penswastaan pasukan yang akan bermula musim depan hanya berpura-pura.

Sebaliknya, Jamal berkata semua pasukan perlu diberi ruang dan peluang untuk berdiri di atas kaki sendiri dan tidak lagi bergantung kepada dana kerajaan dalam tempoh satu atau dua tahun lagi.

Katanya, bukan mudah untuk kelab di negara ini berubah kepada penswastaan secara mendadak kerana ia memerlukan masa bagi meneruskan kesinambungan liga tempatan.

“Bagi permulaan atau tempoh peralihan ini, saya rasa tak salah (terima dana kerajaan) terutama dengan keadaan COVID-19 dan ekonomi meruncing. Tidak banyak orang nak taja, tambahan pula sekarang ini penyokong tak boleh masuk stadium, pasukan tak dapat pendapatan.

“Sekarang pun mereka (kelab) sudah bergerak dari persatuan kepada kelab, ia sudah satu langkah yang baik dan selepas ini tentu ada perkara lebih positif supaya dana pasukan datang dari sumber lain, bukan dari kerajaan negeri.

“Kita tak boleh samakan semua pasukan macam JDT, pendapatan mereka lain. Kalau nak teruskan liga Malaysia ini, kita kena bertegas dan bertolak ansur,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Semalam, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) menganggap penswastaan bola sepak Malaysia hanyalah perubahan di atas kertas, namun amalan lama masih diteruskan dan pasukan tetap mengharapkan dana kerajaan.

Selain itu, Jamal turut menjelaskan penswastaan pasukan perlu dilihat daripada perspektif lain dan kelab lain tidak boleh dibandingkan dengan JDT.

“Setiap kelab ada cara mereka dan kita bagi masa untuk kelab ini menunjukkan bahawa mereka boleh jadi lebih baik daripada JDT. Tak ada pasukan yang nak jadi yang tidak terbaik.

“Mereka mahu tunjukkan mereka ada kemampuan, tapi berilah ruang. Contohnya, nak ada padang latihan atau stadium sendiri memerlukan masa dan belanja yang besar kerana untuk menguruskan pasukan saja perlukan RM20 juta setahun,” katanya. BH

Safawi sebak jumpa TMJ [ VIDEO ]

Leave a Reply