Pilihan raya AS: Pesakit Covid-19 dibenar undi di pusat pengundian
Pesakit Covid-19 dibenarkan mengundi di pusat pengundian pada pilihan raya presiden Amerika Syarikat 2020, dengan syarat mereka perlu mematuhi langkah pencegahan dan keselamatan berdasarkan panduan dikeluarkan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) AS, lapor agensi berita Sputnik.
“Pengundi yang sakit atau menjalani kuarantin mesti mengambil langkah pencegahan untuk melindungi petugas dan pengundi lain.
“Ini termasuk memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal sekurang-kurangnya 6 kaki daripada orang lain dan membasuh tangan atau menggunakan pensanitasi tangan sebelum dan selepas mengundi,” lapor agensi berita itu yang memetik kenyataan di laman web CDC.
Menurut CDC, individu yang sakit atau dikuarantin juga perlu memaklumkan petugas sebaik tiba di pusat pengundian.
Pengundi juga dinasihatkan membawa pen dan pensanitasi tangan sendiri.
Lebih 9.3 juta kes positif Covid-19 dicatatkan di AS, tertinggi di dunia.
Jumlah kematian di AS juga yang tertinggi dunia, iaitu lebih 231,700 orang meninggal dunia akibat Covid-19 setakat ini. Bernama