Covid-19 boleh dilandaikan dalam 3 minggu – Noor Hisham

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham yakin kementerian itu akan dapat melandaikan lengkungan Covid-19 dalam tempoh tiga minggu lagi.

Dr Noor Hisham berkata jumlah kes baru dijangka terus meningkat secara purata sebanyak 971 kes setiap hari dalam satu minggu berikutnya.

“Unjuran kita 971 kes (sehari), jadi dalam seminggu pun lebih 6,000 (kes).

“Mungkin makan masa dua ke tiga minggu nak landaikan (lengkungan),” katanya kepada wartawan dalam sidang media di Putrajaya hari ini.



Noor Hisham menjawab pertanyaan wartawan mengenai unjuran yang dibuat sebuah universiti tempatan baru-baru ini, yang memberi amaran bahawa lonjakan kes positif harian boleh mencecah 5,000 dalam dua minggu.

Ahli akademik Universiti Sains Malaysia juga menggesa kerajaan meningkatkan kawalan untuk mengatasi masalah tersebut, menurut laporan The Vibes.

Dr Noor Hisham menyatakan keyakinannya bahawa matlamat kementerian untuk mengurangkan angka R-Naught kepada 0.5 akan segera dicapai.

R-Naught adalah terma yang menunjukkan tahap kebolehjangkitan sesuatu penyakit berjangkit. Kadar lebih daripada 1 menunjukkan kebolehjangkitan yang tinggi.



Namun, tegasnya, perkara itu hanya akan dicapai jika mendapat kerjasama dari seluruh rakyat untuk mematuhi panduan yang diberikan KKM bagi mencegah penyebaran wabak berkenaan.

Ini termasuk tinggal di rumah sekiranya tiada perkara penting dan sekiranya perlu harus mengikuti SOP seperti penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan selalu mencuci tangan.

Berhubung cadangan ahli akademik bahawa kerajaan harus melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) di zon merah, Noor Hisham mengatakan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dilaksanakan menunjukkan keberkesanannya.

“Strategi kita sekarang ni tak seperti bulan Mac sewaktu PKP. (Sekarang) kita cuba imbangi, benarkan ekonomi tapi kawal aktiviti sosial, sukan dan sebagainya.



“Kalau guna kaedah PKPB dan tempoh kita lihat lebih dua minggu nampak kesan, berjaya turunkan R-naught 2.2 masa permulaan kepada 1.0 (sekarang),” katanya.

Pada 8 Oktober lalu, Noor Hisham memaklumkan bahawa negara ini menghadapi gelombang ketiga wabak Covid-19.

Gelombang baru itu berlaku selepas berakhirnya pilihan raya negeri Sabah pada 26 Sept, yang menyaksikan aktiviti kempen politik berlangsung di seluruh negeri itu selama dua minggu. Mk



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker