Agong ingatkan ketepikan perbezaan dan kepentingan parti, perhalusi cadangan, rangka belanjawan inklusif

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran memperhalusi setiap cadangan bagi merangka Belanjawan 2021 bersifat inklusif serta komprehensif, berpaksikan kebajikan rakyat, pemulihan ekonomi negara dan pembendungan efektif wabak Covid-19.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan harapan itu ketika menerima menghadap Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Istana Negara petang ini.

Pada pertemuan berlangsung selama 70 minit itu, Sultan Abdullah berkenan menerima sembah taklimat ringkas mengenai kedudukan ekonomi semasa dan fiskal negara serta usaha Kementerian Kewangan menyediakan Belanjawan 2021 sejak Julai, melalui lebih 40 sesi libat urus melibatkan lebih 2,000 individu dan wakil perniagaan, termasuk wakil parti politik negara.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada kerajaan serta parti politik di atas semangat bipartisan dan pemuafakatan yang ditunjukkan,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata, dalam majlis menghadap itu Tengku Zafrul disertai Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Asri Hamidon.

“Sultan Abdullah berpendapat amalan kematangan berpolitik dengan mengetepikan perbezaan dan kepentingan parti atau peribadi amat penting ketika ini demi keselamatan dan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat bencana wabak Covid-19,” katanya.

Agong turut bertitah semangat itu selaras budaya syura yang dianjurkan Islam sebagaimana dipamerkan oleh raja-raja Melayu dalam sesi perbincangan khas di Istana Negara pada 25 Oktober lalu.

Sultan Abdullah berkata dalam keadaan situasi sukar dan genting ini, amat wajar kemaslahatan masyarakat umum mendahulukan kepentingan individu secara khusus.

Sehubungan itu, Seri Paduka menzahirkan harapan supaya semangat kerjasama dizahirkan oleh pelbagai pihak dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker