Terkandas di negara asal, ribuan pekerja Bangladesh protes mahu kembali ke Malaysia
Ribuan pekerja warga Bangladesh dari Malaysia yang terkandas di negara asal akibat Covid-19 mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Kementerian Luar di Segunbagicha, Dhaka menuntut bantuan kerajaan bagi kembali bekerja di Malaysia
Mereka terbabit sebelum ini pulang ke negara asal untuk bercuti tetapi tidak dapat kembali ke Malaysia akibat Covid-19 yang memaksa kebanyakan negara menutup sempadannya.
Visa sebahagian besar pekerja terbabit sudah tamat tempoh, menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk kembali ke Malaysia, lapor Agensi.
Terdapat lebih 25,000 pekerja Bangladesh dari Malaysia kini terkandas di negara asal sejak penularan pandemik Covid-19.
Sehubungan itu, mereka menggesa kerajaan campur tangan dan membantu mereka menyelesaikan isu dokumen perjalanan bagi membolehkan mereka kembali ke tempat kerja di Malaysia.
Setiausaha Luar Bangladesh, Masud Momen, ketika bercakap dengan penunjuk perasaan, memberi jaminan pihaknya akan berbincang dengan Malaysia bagi menyelesaikan masalah mereka.
Seorang pekerja, Md Mohiuddin, memberitahu akhbar New Age bahawa beliau pulang ke Bangladesh pada 28 Januari dan sepatutnya kembali ke Malaysia pada 6 Mei tetapi tidak dapat berbuat demikian akibat Covid-19.
Katanya, visanya tamat tempoh 6 Mei lalu dan kini tidak pasti sama ada dapat kembali ke Malaysia, sama seperti 20 lagi pekerja di perkampungannya di Taltali, Barguna.
Katanya, tanpa campur tangan kerajaan, usaha mereka untuk kembali ke Malaysia tidak mungkin berjaya.
Dalam masa sama, Agensi melaporkan mereka turut menuntut kerajaan menyediakan dana bantuan kewangan kerana tiada pekerjaan selama lebih tujuh bulan. MD