Peniaga dikompaun guna pencuci lantai sebagai ‘hand sanitizer’

Seorang peniaga dikompaun RM1,000 selepas didapati menggunakan pencuci lantai sebagai cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) untuk digunakan pelanggan yang datang ke premisnya kelmarin.

Tindakan peniaga itu berjaya dikesan pihak berkuasa dalam Op Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di daerah berkenaan.

Pemangku Ketua Polis daerah Jempol, Deputi Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, tindakan yang dilakukan peniaga itu sama sekali tidak wajar kerana ia boleh mendatangkan masalah lain kepada orang ramai.

Menurutnya, peniaga itu mendakwa dia menggunakan pencuci lantai kerana boleh menghapuskan kuman pada tangan selain harganya yang murah.

“Peniaga berkenaan telah dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 kerana tidak mematuhi SOP, ” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam operasi sama, Mohd Hafiz berkata, pihaknya turut mengeluarkan empat lagi kompaun kepada peniaga sekitar Bahau, Bandar Seri Jempol dan Batu Kikir.

“Antara kesalahan yang dikesan adalah tidak memakai pelitup muka, tiada daftar masuk pelanggan, tidak menyediakan buku daftar pelanggan dan tidak menghadkan pelanggan masuk ke dalam premis.

“Pihak berkuasa akan terus mengadakan Op Pematuhan seluruh daerah bagi memastikan orang ramai termasuk peniaga mematuhi semua SOP ditetapkan,” katanya.

Selain Polis Diraja Malaysia, Op Pematuhan SOP PKPP yang diadakan pada jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari turut disertai Pejabat Kesihatan Daerah Jempol, Majlis Perbandaran Daerah Jempol dan Jabatan Sukarelawan Malaysia. Sinar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker