Kerajaan perlu bantu, tapi syarikat penerbangan perlu berkorban · MYKMU.NET

Kerajaan perlu bantu, tapi syarikat penerbangan perlu berkorban

Share

Kerajaan perlu membantu syarikat penerbangan yang terjejas dalam musim Covid-19, namun dalam masa yang sama, mereka juga perlu bersedia melakukan pengorbanan.

Menurut pakar ekonomi dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Dr Shazali Abu Mansor, membiarkan syarikat penerbangan terkubur dan membinanya semula dari bawah setelah Covid-19 reda adalah pilihan sukar yang menelan kos tinggi.

Katanya, sekiranya wabak Covid-19 berpanjangan untuk tempoh yang lama, syarikat-syarikat penerbangan perlu memikirkan cara meneruskan kelangsungan perniagaan – salah satunya melalui penggabungan.

Melalui cara itu, katanya, syarikat-syarikat penerbangan dapat berkongsi kos tetap yang menurutnya, agak tinggi dibandingkan dengan kos operasi dalam sektor penerbangan.

“Kalau nak bermula semula dari bawah, itu bukan senang. Jadi dengan apa cara sekalipun, kita mesti menyokong sektor penerbangan untuk ia bertahan. Kita tak boleh lihat keuntungannya (semata-mata).

“Kerajaan boleh bantu, tapi mungkin bersyarat, kerana kerajaan tak mampu bantu semuanya. Jadi mungkin syaratnya ialah syarikat-syarikat ini bergabung dahulu, kemudian dibantu. Kalau ada gabungan, mungkin boleh bertahan, kalau (mana yang) tak cukup, kerajaan boleh bantu.

“Mereka (syarikat) perlu fikir melangkaui skop firma mereka, bagaimana langkah seterusnya. Walaupun dengan gabungan, (pegangan) saham akan menjadi kurang, tetapi kena terimalah berbanding kena tutup,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Buat masa ini, kata Shazali, syarikat-syarikat penerbangan nampaknya menaruh keyakinan bahawa penyelesaian Covid-19 – seperti penemuan vaksin – tidak akan memakan masa terlalu panjang.

Oleh sebab itu, tambahnya, mereka mengambil langkah kawalan jangka pendek yang wajar seperti pengecilan saiz pekerja dan penstrukturan hutang, dan belum bergerak ke arah penggabungan.

Namun semakin lama tempoh penularan wabak Covid-19, pasaran sektor penerbangan juga semakin mengecut, lebih-lebih lagi dengan persaingan daripada tiga syarikat penerbangan – Malaysia Airlines, Air Asia dan Malindo Air.

Malam kelmarin, Malindo Air sempat menjadi sohor di Twitter apabila para pekerja yang diberhentikan membuat hantaran ‘daftar keluar’ (singing off) ketika mencoret ucapan selamat tinggal mereka.

Malindo Air dikatakan hanya akan beroperasi dengan saiz sekecil kira-kira 1,000 pekerja sahaja.

Dalam gesaan agar kerajaan memberi bantuan kewangan kepada Malaysia Airlines pada April, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) menyifatkan industri penerbangan sebagai asas kepada ekosistem pelancongan, manakala perhubungan udara ialah aspek penting dalam pemulihan ekonomi dan pelancongan negara.

Katanya, industri penerbangan ialah industri pertama dalam rantaian bekalan panjang industri pelancongan – termasuklah lapangan terbang, jalan raya, kereta api, penginapan, makanan dan minuman, hiburan, perniagaan, beli-belah, pendidikan dan kesihatan.

Bersetuju dengan hal ini, Shazali menegaskan peri pentingnya membantu syarikat penerbangan sekali gus menjaga keterhubungan udara yang berperanan membantu pemulihan ekonomi negara selepas wabak reda.

“Kalau benda ini (wabak) berpanjangan, kalau kerajaan tidak bantu, memang kena tutup, (padahal) negara kita memang perlukan penerbangan.

“Kalau tutup, nak mula balik bila pandemik itu reda, akan jadi sangat mahal, hendak bina balik (set up), agak susah juga.

“Jadi hendak tak hendak, untung tidak untung, syarikat penerbangan mesti ada. Jadi kerajaan boleh adakan model macam mana mesti adanya syarikat penerbangan di Malaysia ini,” katanya lagi.

Menteri kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz beberapa kali berkata kerajaan tidak akan terlibat menyelamatkan atau menyuntik modal kepada syarikat-syarikat penerbangan.

Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo Air antara syarikat penerbangan yang telah melakukan penstrukturan hutang serta pemberhentian pekerja dalam usaha mereka untuk bertahan.

Malah, Khazanah Nasional Bhd tidak menolak kemungkinan untuk berhenti membiayai Malaysia Airlines, sebaliknya menyuntik dana kepada Firefly untuk menjadikannya syarikat penerbangan nasional sebagai pilihan terakhir, sekiranya penstrukruran semula tidak berjaya.

Pindahkan tenaga kerja

Mengambil kira hutang dan kos tinggi yang ditanggung syarikat penerbangan pada masa kini, pakar ekonomi Prof Dr Barjoyai Bardai berpendapat, pendirian kerajaan untuk tidak menyelematkan syarikat berkenaan adalah langkah yang “terpaksa diambil”.

Namun, katanya, langkah syarikat penerbangan untuk menyelesaikan masalah pemegang saham, tidak semestinya menyelesaikan masalah ekonomi ‘zero sum game’ (keuntungan sebelah pihak menyebabkan kerugian pihak lain), terutamanya buat pekerja yang kehilangan punca pendapatan.

“Mereka (bekas pekerja) akan menjadi kumpulan penganggur, dan bila jadi penganggur, mereka akan menjadi kumpulan B40, kumpulan miskin, (ini) perlu diatasi.

“Tidak menyelamatkan syarikat penerbangan adalah langkah yang terpaksa diambil (oleh kerajaan).

“Tetapi dalam masa sama, kerajaan perlu serta-merta memikirkan bagaimana hendak memindahkan tenaga kerja serta pembekal dari sektor penerbangan ke sektor lain,” katanya yang turut mencadangkan pekerja ini dipindahkan ke sektor baru dalam revolusi industri 4.0.

Barjoyai mencadangkan syarikat penerbangan negara mencontohi syarikat luar dengan menawarkan perkhidmatan seperti tawaran makan malam dalam pesawat seperti di Singapura, atau “flights to nowhere” seperti yang dilakukan syarikat dari Australia dan Korea Selatan.

Namun, untuk jangka masa panjang, sekiranya Covid-19 terus mencengkam untuk masa yang lama, syarikat perlu berfikir bagaimana untuk mewujudkan industri penerbangan yang tidak terlalu menekankan kepada pengangkutan manusia, contohnya pengangkutan bahan tidak tahan lama (perishabable items) seperti bahan makanan mentah. Mk

Industri penerbangan ditahap ICU

Leave a Reply